ANGGOTA polis Indonesia menaiki kenderaan dari Wamena menuju ke Nduga, lokasi buruh binaan dipercayai mati dibunuh pemberontak di wilayah Papua. - AFP
AFP

WAMENA (INDONESIA): Seorang askar Indonesia ditembak mati ketika menyiasat laporan lebih 24 pekerja binaan dibunuh kumpulan pemberontak di wilayah bergolak Papua, kata pihak berkuasa

semalam.

Jika pembunuhan itu disahkan, ia dianggap keganasan terburuk sejak beberapa tahun lalu di rantau itu yang menyaksikan pemberontakan kemerdekaan tahap rendah selama beberapa dekad.

Media Indonesia kelmarin yang memetik seorang pegawai polis tempatan melaporkan, pekerja terbabit ditembak mati pada Ahad lalu di Nduga, daerah di tengah wilayah berkenaan.

Pasukan polis dan tentera dihantar ke kawasan itu kelmarin sebelum mereka diserang kumpulan pemberontak menyebabkan seorang askar maut manakala seorang lagi cedera, kata pihak berkuasa.

Menteri Kerja Awam Indonesia, Budi Hadimuljono semalam memberitahu, pekerja yang dibunuh itu bekerja dengan syarikat Istaka Karya milik kerajaan yang membina jambatan dan jalan raya sebagai sebahagian usaha meningkatkan infrastruktur di rantau miskin itu.

Katanya, semua kerja di kawasan itu dihentikan sementara siasatan dijalankan.

“Kami semua terkejut dan sedih mendengar laporan itu. Semua kerja akan ditangguhkan di kawasan berkenaan berikutan insiden ini,” kata Budi kepada wartawan di Jakarta.

Lebih 12 keranda disediakan di sini, bandar utama terhampir di mana pembunuhan didakwa berlaku. “Ada media melaporkan seramai 31 pekerja maut dan ada yang melaporkan 24 orang, justeru kami perlu memeriksa sendiri,” kata jurucakap tentera Papua, Muhammad Aidi.

Pembunuhan itu didakwa dilakukan pemberontak yang berjuang menentang pemerintahan Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 6:31 AM