Agensi

Minsk: Dua ejen hartanah dihukum mati selepas menipu enam mangsa supaya menyerahkan kediaman mereka sebelum dibunuh termasuk ada yang ditanam hidup-hidup.

Hukuman tembak mati itu dilaksanakan terhadap Igor Gershankov, 37, dan Semyon Berezhnov, 32, di Minsk, baru-baru ini, lapor Daily Mail.

Tertuduh menyewa sebuah flet untuk sehari dan berpura-pura menjual kediaman berkenaan kepada pelanggan yang berminat menjual rumah mereka.

Pertemuan diatur di flet sewa berkenaan yang kononnya akan dijual kepada pembeli terbabit. Mangsa kemudian diberi arak sehingga pengsan sebelum dibunuh.

Isteri Gershankov, Tatiana, yang juga ibu kepada dua anak mereka, dipenjara 24 tahun kerana kesalahan sama. Dia terlepas hukuman mati kerana Belarus tidak melaksanakannya terhadap wanita.

Seorang lagi anggota geng berkenaan Boris Kolyosnikov, 22, dipenjara 22 tahun.

Belarus adalah negara Eropah terakhir melaksanakan hukuman mati.

Presiden Alexander Lukashenko enggan memberikan pengampunan kepada mereka, dan keluarga tertuduh juga tidak dibenarkan menemui mereka untuk kali terakhir.

Gershankov dan Berezhnov turut mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun hukuman mereka dilaksanakan sebelum proses itu selesai.

Kedua-duanya mendakwa dipaksa mengaku jenayah berkenaan.

Enam mangsa Gershankov dan Berezhnov adalah kaki botol yang hidup sendiri dan kesunyian di Mogilyov. Tertuduh memujuk mereka supaya membeli flet yang lebih kecil dan kononnya mendapat sedikit keuntungan termasuk wang hasil jualan kediaman mereka.

Mangsa dibawa ke rumah sewa digunakan untuk operasi tertuduh, dan diyakinkan supaya membelinya. Sebaik perjanjian ditandatangani, mereka menyambutnya dengan memberikan arak yang dicampurkan dadah.

Mangsa kemudian dibawa ke tempat terpencil dan dibunuh, malah ada yang ditanam hidup-hidup, kata polis.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, tiga kubur kosong sudah disediakan untuk ‘bakal mangsa.’

Tidak jelas bila hukuman mati dilaksanakan, namun ibu Gershankov menerima pengesahan ia dilakukan pada 28 November, kata kumpulan hak asasi manusia Vesna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 12:00 PM