GAMBAR diambil daripada video yang tular menunjukkan suspek menetak mati rakannya. - Agensi
Agensi

NEW DELHI: Seorang lelaki menjadi tular di laman sosial apabila dia dirakam nekad menetak rakannya hingga mati secara terbuka di tengah kawasan yang sibuk di Hyderabad, India dengan orang ramai yang melihat kejadian sekadar merakamkannya menggunakan telefon bimbit tanpa cuba membantu mangsa.

Hindustan Times melaporkan, lelaki terbabit yang juga pemandu beca bermotor, Abdul Khaja, 29, dilihat menyerang mangsa, Shakeer Qureshi, 30 dengan pisau beberapa kali dan menetaknya di kepala, bahu serta leher, malam kelmarin.

Orang ramai yang melihat kejadian itu langsung tidak membantu mangsa sebaliknya mereka hanya merakam perbuatan Abdul Khaja sebelum video itu tersebar di media sosial.

Ketika mangsa terjatuh, suspek duduk di sebelahnya sambil memegangnya dengan kuat sebelum menetak beberapa kali, sebelum berdiri dan menjerit mengatakan mangsa mengancamnya dengan pisau serta menghinanya, lapor NDTV.

Menerusi video berkenaan, kelihatan dua orang polis termasuk seorang polis trafik di tempat kejadian gagal menghalang lelaki itu daripada terus menyerang mangsa.

Polis berkata, suspek melakukan serangan itu kerana berang dengan mangsa yang memberikan beca bermotor miliknya yang disewa kepada rakan lain dikenali sebagai Akeel.

Suspek bersemuka dengan Qureshi kerana tidak berpuas hati namun dia dipercayai turut memukul ibu dan kakaknya.

Asisten Komisioner B Anand berkata, suspek juga didapati mabuk dan kejadian itu dipercayai berpunca daripada permusuhan antara mereka.

“Berang dengan tindakan mangsa menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka hingga Qureshi terbunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 6:30 AM