ANTARA program yang dianjurkan SMUPM.
Noriza Sainal
am@hmetro.com.my


SERDANG: Tema ‘Jom Berbakti’ menjadi pegangan ahli Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (SMUPM) bagi memperkasakan budaya berbakti dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekitar Serdang, menerusi pelbagai aktiviti dakwah dan sosial ummah dianjurkan.

Pengerusi SMUPM Bukryman Sabri berkata, budaya berbakti diamalkan dalam organisasi itu membabitkan aktiviti sukarelawan dan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, SMUPM menganjurkan program bersama komuniti sekitar Serdang, membabitkan kakitangan dan penuntut UPM serta ahli kariah masjid sepanjang tahun.

Katanya, SMUPM ditubuhkan pada 2013 dan sejak itu pelbagai aktiviti seperti program Musafir Hana, Buku dan Permainan Percuma, Makanan Percuma dan Pasar Percuma sudah dilaksanakan.

Bukryman berkata, program Musafir Hana dianjurkan bertujuan untuk menyantuni ibu bapa dan ahli keluarga penuntut baru yang ke kampus itu pada hari pendaftaran pada setiap tahun.

“Program ini bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada ahli keluarga penuntut. Kami tergerak untuk membantu selepas melihat ada ahli keluarga penuntut baru ini terpaksa bermalam di Masjid UPM pada malam hari pendaftaran.


SEBAHAGIAN sukarelawan SMUPM bersama peserta yang menyertai program Musafir Hana.

“Tidak kurang yang tidur dalam kenderaan dan perhentian bas, berikutan itu kami mengajak ke masjid serta sediakan kemudahan untuk berehat meskipun cuma ala kadar saja,” katanya.

Menurutnya, bantuan dihulurkan itu secara tidak langsung meringankan beban kewangan ahli keluarga penuntut yang mungkin berasal daripada golongan kurang berkemampuan.

Jelasnya program Musafir Hana, mendapat maklum balas amat menggalakkan dalam kalangan ibu bapa penuntut.

Bermula dengan hanya enam keluarga pada 2015 penyertaan meningkat kepada 18 bagi sesi pendaftaran yang lalu.

“Semakin ramai yang mahu sertai program ini hasil promosi kami jalankan menerusi media sosial Sahabat Masjid UPM menggunakan platform Facebook dan Instagram serta sebaran di WhatsApp.

“Bagi sesi tahun depan kami bercadang untuk sertakan butiran program bersama surat tawaran agar lebih ramai yang turut serta. Program ini juga akan dianjurkan untuk edisi konvokesyen,” katanya.

Dia memberitahu, program itu juga menggalakkan amalan bersedekah kerana banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan dalam bentuk bantal, tilam, selimut dan makanan.

Selain inisiatif SMUPM katanya, program itu turut mendapat kerjasama Pusat Islam UPM dan Putra Bakti.

Setakat ini SMUPM mempunyai 400 ahli berdaftar membabitkan penuntut, kakitangan dan kariah masjid sekitar Serdang.

Bagi menyemarakkan lagi aktiviti kebajikan SMUPM turut bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pink Squad, Yayasan Al Ikhlas, Yayasan Jabal Nur dan Unggas KL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:38 AM