PIHAK KPDNHEP merampas beg tangan tiruan menggunakan jenama antarabangsa terkemuka sepert LV dan GUCCI dari kilang di Subang Jaya.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya membongkar kewujudan kilang haram di Subang, Selangor menghasilkan beg tangan tiruan jenama antarabangsa terkemuka.

Kilang milik warga tempatan itu dikesan menggunakan khidmat tukang jahit warga asing bagi menghasilkan pelbagai beg tiruan menggunakan jenama Louis Vuitton (LV) .

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Datuk Mohd Roslan Mahyuddin berkata, kegiatan itu dibongkar hasil operasi dilakukan sepasukan lapan pegawai KPDNHEP dengan bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di premis berkenaan pada, 3 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati premis itu dijadikan kilang untuk menghasilkan beg tangan tiruan berjenama terkemuka antarabangsa.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui 126 beg tangan tiruan, 135 beg bagasi dan 664 beg sandang tiruan jenama LV.

"Turut ditemui gulungan kain, zip dan butang yang digunakan untuk menghasilkan semua beg itu," katanya.

Beliau berkata, pegawai KPDNHEP turut menemui bagasi cetak rompak jenama Gucci selain lebih 1,500 beg tiruan menggunakan jenama Nike, Adidas dan Fila.

Menurutnya, semua beg tiruan itu dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai keseluruhan mencecah RM60,000.

"Enam pekerja warga Bangladesh yang diupah sebagai tukang jahit di premis itu ditahan untuk soal siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum denda kepada pertubuhan perbadanan tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan dagangan palsu.

"Individu yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dagangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 5:06 PM