KUALA LUMPUR 20 JANUARI 2018. Pelawak terkenal Abam Bocey bergambar bersama isterinya Siti Nurhidayah Mohd Ali, 25, di majlis perkahwinan di Batu 10 Gombak. MSTP/EMAIL
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


“SOAL anak adalah rezeki daripada Allah SWT. Bukan sebab kita 'power' atau tak 'power'. Jangan kerana saya berbadan besar orang kata saya tak mampu nak bagi zuriat."

Demikian kata pelawak popular Abam Bocey yang kecewa dengan sikap segelintir netizen yang berpandangan negatif terhadap lelaki berbadan besar sepertinya.

Isteri Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali kini disahkan hamil tiga bulan.

Abam berkata, sebaik doktor memaklumkan isterinya hamil, dia seperti mahu berlari dan menjerit sekuat hati.

"Saya sebenarnya tidak mahu menghebahkan perkara ini tapi ramai yang sudah dapat meneka dan membuatkan saya berkongsi berita gembira ini bersama umum,” katanya.

Abam berkata, sepanjang hampir setahun berkahwin dengan isteri Siti Norhidayah, dia sentiasa bersikap positif dan percaya dengan ketentuan Allah.

"Berhentilah bercerita buruk mengata orang gemuk macam-macam apabila sudah berkahwin.

"Orang 'power' pun jika Allah tak izinkan, buatlah cara macam mana sekalipun tak dapat juga. Saya doakan kepada semua yang berkahwin dikurniakan anak," katanya.

Menurut Abam, diawal kehamilan isterinya, dia tidak terlepas mengalami alahan pening serta selera makan bertambah.

"Memang saya mengalami alahan pening serta selera makan bertambah, tapi sekarang sudah okay dan kembali ke landasan diet semula," katanya.

Abam dan Siti Norhidayah berkahwin pada 8 Disember tahun lalu di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 11:08 AM