PELBAGAI jenis ikan ditangkap di tali air selepas banjir mulai surut, semalam.
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


ALOR GAJAH: “Kami bukannya tidak bersimpati terhadap mangsa banjir, tetapi rezeki yang melimpah ruah ini harus diambil.

“Kami bersimpati dengan nasib malang yang menimpa mereka dan turut membantu menyelamatkan harta benda, selain memindahkan (mangsa) ke tempat selamat,” kata Abu Husin Ngah, 56, mengenai tindakannya bersama anggota keluarga dan penduduk kampung menangkap ikan pada musim banjir.

Pengawal keselamatan itu berkata, dia bersama isteri dan anak bersimpati dengan ujian dilalui mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam, di sini, sejak Isnin lalu.


Penduduk tidak melepaskan peluang menebar jala dan memancing.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama tidak boleh menolak rezeki kurniaan Allah apabila parit, tali air dan sawah dipenuhi ikan, berbanding sebelum banjir.

“Sejak air naik Isnin lalu, parit, tali air dan sawah ada banyak ikan, jadi kami mengambil kesempatan itu untuk menangkapnya bagi dijadikan lauk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui menjaring ikan di sawah kampung itu semalam.

Selain memasang jaring dalam sawah, Abu Husin dan anaknya, Asmidar, 23, Asnor Ani, 19, Mohd Arif, 13, dan menantunya, Mohd Khairul Izwan, 25, turut memasang jaring dalam tali air.

“Hasilnya, kami memperoleh pelbagai jenis ikan seperti keli, lampam dan sebarau yang dijadikan hidangan sekeluarga.


Penduduk mengumpul pelbagai jenis ikan hasil tangkapan di tali air.

“Alhamdulillah rumah kami tidak dinaiki air kerana terletak di kawasan berbukit, tetapi kami bukannya mahu mempersendakan nasib mangsa banjir dengan menjaring ikan pada musim banjir sekarang,” katanya.

Bagi Timah Husin, 56, dia tidak mahu melepaskan peluang menjala ikan kerana peluang sepert itu hanya hadir sekali-sekala.

“Banjir menyebabkan air sungai melimpah dan membawa bersamanya pelbagai jenis ikan yang kami anggap sebagai ‘rezeki terpijak’ untuk kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 7:02 AM