GAMBAR menunjukkan sayap pesawat yang rosak selepas melanggar hos bomba. - CEN
Agensi

BUENOS AIRES: Sebuah pesawat penumpang rosak selepas sayapnya melanggar hos air ketika dua jentera bomba menyembur air bagi meraikan penerbangan terakhir juruterbangnya yang akan bersara.

Mail Online melaporkan, pesawat penumpang berkenaan berlepas dari Madrid di Sepanyol dan mendarat di lapangan terbang Ezeiza di Buenos Aires.

Penerbangan itu yang terakhir dikendalikan kapten pesawat berkenaan yang bakal bersara.

Mengikut tradisi, juruterbang yang bakal bersara diraikan dengan semburan udara oleh jentera bomba ketika penerbangan terakhirnya.

Pesawat jenis Airbus 340-313 yang dikendalikan kapten itu mendarat dengan selamat dan jentera bomba dengan siren dibunyikan menyembur air ketika kapal terbang itu bergerak perlahan menuju ke terminal.

Bagaimanapun, ketika pesawat itu melepasi jentera bomba berkenaan, sayapnya terlanggar hos yang menyemburkan air.

Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan sayap pesawat itu rosak.

Kumpulan Siasatan Kemalangan Penerbangan Awam berkata, tiada yang cedera dalam kejadian itu dan kerosakan pada sayap berkenaan dianggap tidak serius tetapi pesawat itu tidak dibenarkan terbang buat sementara waktu untuk dibaiki.

Sumber syarikat penerbangan itu memberitahu, kejadian itu disiasat bagi mengetahui ia berpunca daripada kesilapan juruterbang atau pihak bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 6:30 AM