MOHD Qamarmubarak bersama dua rekaannya yg dinobatkan juara pada Colombia Custom Competition Morris Mini Hotwheels. FOTO/IHSAN PEMBACA
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kreativiti seorang guru yang minat mengubah suai kereta mainan berskala kecil membawa tuah apabila hasil karyanya terpilih sebagai pemenang dua kategori dalam Colombia Custom Competition Morris Mini Hotwheels, baru-baru ini.

Rekaan Robominimax milik guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Mohd Qamarmubarak Mohd Hanafi, 40, itu diangkat sebagai pemenang bagi kategori Mild manakala The Mini Monster turut menarik perhatian juri menerusi kategori Spicy apabila menewaskan lebih 30 peserta daripada lima negara yang bertanding.

Mohd Qamarmubarak berkata, idea menghasilkan dua rekaan unik itu diolah menerusi siri kartun dan filem Transformers, Mad Max, Predator dan sukan Monster Jam.

“Banyak rekaan saya dihasilkan daripada ilham cerita kartun dan siri komik Marvel.

Robominimax dihasilkan menggunakan kombinasi Transformers dan Mad Max.

“Untuk The Mini Monster pula, saya gabungkan antara elemen Predator, Mad Max dan sukan Monster Jam,” katanya.

Menurutnya, dia mengam bil masa dua minggu bagi menyiapkan kedua-dua rekaan berkenaan sebelum dihantar untuk penilaian pihak penganjur di Colombia.

“Rekaan saya lebih kepada ubah suai yang ekstrem seperti potong bonet, buat enjin, tambah senjata dan lampu.

“Berbanding peserta lain, mereka hanya menggunakan tampalan pelekat, spray dan tidak buat enjin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:00 AM