ROKKIAH menyarung cincin ke jari Fasha. FOTO Ihsan Fasha Sandha
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


AKTRES terkenal, Nur Fasha Sandha Hassan, 34 akhirnya bertunang dengan aktor Aidil Aziz sekali gus mengesahkan gosip cinta antara mereka.

Fasha dan Aidil bertunang dalam sebuah majlis tertutup di Ampang, hari ini.

Majlis hanya dihadiri kaum keluarga dan teman rapat ini diadakan secara sederhana atas permintaan kedua belah pihak.

Majlis bermula selepas Asar yang mana pihak Aidil menghantar tiga dulang hantaran dan berbalas lima dulang dari pihak Fasha.

Fasha dalam satu kenyataan berkata, majlis itu adalah sangat istimewa kerana tidak pernah melalui fasa bertunang sebelum ini meskipun pernah mendirikan rumah tangga.

“Saya berharap saya dapat lebih mengenali Aidil selepas pertunangan ini,"

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali dan saya berharap pertunangan ini akan berkekalan sehingga ke tarikh perkahwinan kami nanti,” katanya.

Antara barangan yang dijadikan hantaran termasuklah sebentuk cincin pertunangan, manisan, set kelengkapan, wangian dan pakaian.

Fasha disarungkan sebentuk cincin tanda pertunangan oleh ibu Aidil, Rokkiah Md Noor sambil disaksikan ayah Aidil, Abdul Aziz Ishak dan kaum keluarga yang datang dari Rembau.

Ibu Fasha, Hatijah Tehman turut hadir bersama kaum keluarganya bagi memeriahkan majlis pertunangan.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 7:17 PM