HARIMAU Malaya menjadi sasaran utama pemburu haram berikutan harganya yang tinggi di pasaran gelap berbanding haiwan liar lain. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Mungkin ramai yang terkejut apabila mengetahui harga seekor Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis/Panthera tigris jacksoni) sama nilainya dengan banglo dua tingkat di Lembah Klang atau sebuah kereta mewah BMW M5.

Itu fakta diperoleh apabila nilai seekor harimau belang Malaysia melepasi angka RM600,000 hingga RM1 juta di pasaran gelap menyebabkan haiwan ikon kebangsaan dilindungi ini menjadi sasaran utama pemburu haram.

Haiwan liar dilindungi sepenuhnya ini diburu secara haram untuk mendapatkan kulit, daging, kuku, taring serta tulangnya.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim turut berkongsi kebimbangan itu dan menyedari ancaman dihadapi dalam menyelamatkan harimau tempatan terutama harimau belang yang mempunyai nilai tinggi.

Menurutnya, terdapat tiga spesies harimau di Malaysia iaitu harimau belang, harimau kumbang dan harimau dahan (Neofelis nebulosa).

“Berdasar statistik dikumpul, sebanyak 63 ekor harimau dikesan dibunuh sejak 10 tahun lalu dan angka ini dianggap besar.

“Pemburuan haram dan kemusnahan habitat semula jadi menyebabkan populasi Harimau Malaya didapati merosot dalam tempoh sedekad lalu.

“Jika 10 tahun lalu dianggarkan kira-kira 3,000 spesies hidupan liar itu boleh dijumpai di Malaysia.

“Kini populasi harimau belang di Malaysia hanyalah sekitar 250 hingga 340 ekor saja.

“Jumlah akan semakin berkurangan sekiranya aktiviti pemburuan haram tidak dikekang,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menjadi destinasi pemburu haram dari luar negara yang menyedari hutan negara ini masih memiliki spesies haiwan tertentu.

“Ini terbukti apabila pegawai PERHILITAN sering menemui jerat dawai yang dipasang di kawasan harimau kerap berkeliaran,” katanya.

Berdasarkan statistik dari 2015 hingga 2017, sebanyak 25 ekor hidupan liar dari pelbagai spesies mati akibat dijerat.

Antara hidupan liar yang mati dijerat adalah harimau belang, harimau kumbang, gajah, tapir, kambing gurun, rusa dan kijang.

Ini menyebabkan rantaian makanan semulajadi terputus antara mangsa dan pemangsa.

Abdul Kadir memaklumkan pemburuan harimau semakin menjadi-jadi di negara ini berikutan negara jiran seperti Vietnam, Kemboja dan Thailand sudah kehabisan ‘bekalan’ harimau.

“Permintaan juga semakin meningkat untuk setiap anggota badan harimau yang dijual sebagai makanan atau perubatan melalui pasaran gelap.

“Jadi sangat penting untuk PERHILITAN menjalankan operasi secara besar-besaran supaya harimau kita tidak pupus begitu saja,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pemburuan dilihat menjadi ancaman utama kepupusan hidupan liar selain penggunaan jerat sebagai alat utama kerana ia boleh membawa kecederaan serius dan kematian haiwan berkenaan.

Katanya, penggunaan jerat juga adalah tindakan yang sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana selain memberi risiko ancaman kepada haiwan liar ia juga boleh juga memberi risiko sama kepada manusia.

“Secara keseluruhannya, populasi spesies kucing besar ini semakin berkurangan pada kadar membimbangkan akibat kehilangan habitat, konflik manusia-hidupan liar, pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar,” katanya.


ABDUL KADIR menunjukkan kulit Harimau Malaya yang dirampas daripada pemburu haram. FOTO NSTP

Beliau berkata, pihaknya dalam usaha membangunkan pelbagai langkah antaranya Pelan Tindakan Konservasi Harimau Kebangsaan 2008-2020, program Survei Harimau Kebangsaan (1NTS) dan sebagainya.

“Menerusi tema sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia iaitu Big Cats: Predator Under Threat ini kita akan memberi fokus kepada ancaman kepupusan spesies kucing besar.

“Ia adalah kumpulan hidupan liar paling meluas dikenali serta dikagumi di seluruh dunia yang terdiri daripada singa, harimau belang, harimau kumbang, harimau dahan, puma, jaguar dan cheetah,” katanya.

Sebelum ini, Tabung Hidupan Liar Sedunia atau WWF Malaysia turut meramalkan haiwan berstatus spesies terancam ini akan pupus dalam tempoh kurang 10 tahun sekiranya tiada usaha pemuliharaan diambil segera.

Hasil kajian terbaru ini menunjukkan Harimau Malaya memenuhi kriteria yang dilabelkan sebagai Spesies Terancam Tahap Kritikal di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Terdahulu, spesies ini hanya tersenarai sebagai spesies terancam sejak 2008.

Sasaran asal Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) yang dilancarkan pada 2008 adalah untuk mempunyai 1,000 ekor Harimau Malaya di habitat asal di seluruh Semenanjung menjelang 2020.

Bagaimanapun Abdul Kadir berkata, PERHILITAN sentiasa memantau aktiviti perdagangan hidupan liar tersebut melalui kerjasama antarabangsa seperti dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan ASEAN-Jaringan Penguatkuasaan Hidupan Liar (ASEAN-WEN) dan kegiatan pemburuan haram masih terkawal.

Tulang, tengkorak paling mahal

Tulang dan tengkorak harimau menjadi bahagian paling bernilai berbanding kulit harimau di pasaran gelap.

Ini susulan tulang harimau mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembuat arak selain pengeluar produk ubat-ubatan tradisional.

Tulang haiwan karnivor ini didapati menjadi bahan utama bagi penghasilan arak yang amat popular di Vietnam, Laos dan China selain turut dieksport hingga ke Amerika Syarikat.

Pertubuhan hak asasi Four Paws mendapati produk wain atau arak dihasilkan daripada serbuk tulang harimau giat diseludup masuk ke Eropah berikutan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan komuniti elit.


TULANG harimau yang mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan campuran dalam arak dan ubat. FOTO NSTP

“Setiap liter arak tulang harimau boleh dijual sehingga AS$2,000 (RM8,380) di pasaran gelap. Arak ini mendapat permintaan tinggi berikutan kepercayaan ia boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, mengubat mati pucuk dan memanjangkan usia.

“Kesukaran mendapatkan bekalan tulang harimau Asia menyebabkan pembekal berusaha mendapatkan tulang singa Afrika bagi memenuhi permintaan di pasaran gelap.

“Manakala kulit harimau boleh mencecah harga sehingga AS$20,000 (RM83,800) setiap satu.

“Selain tulang harimau bahagian lain harimau termasuk kuku dan gigi taringnya turut dijadikan tangkal ‘tuah’ dan diperdagangkan sebagai trofi manakala darah, organ seks dan dagingnya dijadikan hidangan eksotik di restoran.

“Dalam erti kata lain, seluruh bahagian tubuh harimau boleh memberikan keuntungan jika dijual,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) tidak menolak kemungkinan pembabitan sindiket tempatan dengan sindiket antarabangsa di dalam perdagangan hidupan liar berkenaan.

Selain rakyat tempatan, kebiasaannya rakyat asing seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam seringkali didapati terbabit dalam jenayah itu.


KULIT harimau antara bahagian yang mendapat permintaan tinggi. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 11:00 AM