XPDC membuat persembahan pada Konsert XPDC PengYu
Mohamad Ridzuan
mohamadridzuan@hmetro.com.my


IMPIAN kumpulan XPDC Kita Peng Yu untuk meraikan peminat setia sempena 30 tahun penubuhan mereka terlaksana apabila konsert XPDC Solo di Setor Gombak, Jalan Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini berjalan lancar.

Hujan sejak lewat petang agak merencatkan sambutan tetapi bukan penghalang buat peminat setia Mael (penyanyi), Zuar (bass), Amy (dram) dan Jeff (gitar) untuk menikmati persembahan yang disajikan.

Sudah namanya peminat setia, mereka tidak kisah berhujan demi menyaksikan persembahan menampilkan kelainan kerana XPDC memilih menyampaikan lagu ciptaan Allahyarham JS Kevin yang penuh nolstalgia buat peminat.

Lokasi ini mula bergegar apabila XPDC membuka persembahan dengan rangkaian lagu rancak iaitu Gerak 2000, Ntahapahapantah, Aku Tak Akan Bising dan Lagu Dari Aku.

Mereka kemudian memilih meredakan suasana buat seketika dengan menampilkan medley hit ‘slow ballads’ XPDC iaitu Titian Perjalanan, Hentian Ini, Aku dan Sesuatu, Jangan Tak Mandi dan Penyakit Gatal.

Pilihan lagu ini ternyata mengundang nostalgia buat peminat apabila turut sama mengiringi nyanyian Mael sehingga ke akhir.

Selepas berehat seketika, Mael kembali ke atas pentas dengan segmen kedua konsert dan menyampaikan lagu Kabus Semalam, Bahalol, Nafisa, Tak Nak Jadi Soh Chai, Talam Dua Muka, Raja Kertas, Selendang Merdeka dan Semangat Yang Hilang.


XPDC membuat persembahan pada Konsert XPDC PengYu

Lagu lain yang ditampilkan ialah Apa Nak Dikata dan Kita Pengyu yang menjadi penutup persembahan.

Menyampaikan 17 lagu selama dua jam bukanlah satu kerja mudah namun Mael berjaya melaksanakan misi besar XPDC memberikan hadiah istimewa buat peminat yang menyokong mereka sejak ditubuhkan pada 1989 dan kekal bertahan sehingga kini.

Mael yang ditemui mengaku lega apabila segala perancangan untuk konsert itu berjalan lancar.

“Saya amat berterima kasih kepada peminat yang datang. Saya ada terfikir konsert ini mungkin dibatalkan pada saat akhir kerana hujan tetapi kesetiaan peminat yang sanggup tunggu membuatkan ia diteruskan penganjur.

“Alhamdulillah, konsert ini dapat dijayakan dengan sempurna walaupun saya sendiri tak sihat sepenuhnya. Apa yang penting peminat terhibur,” katanya.

Menurutnya, XPDC sudah berusia 30 tahun dan peminat masih menyokong perjuangan mereka.

“Sepatutnya kami buat persembahan di tempat tertutup tapi saya sendiri tak pasti apa yang berlaku antara penganjur dan pemilik tapak.

“Pentas kemudian terpaksa dipasang di luar dan ia bukan satu masalah. Apatah lagi peminat setia menanti.

“Tak dinafikan saya bimbang juga dengan pelbagai kemungkinan terutama aspek keselamatan tetapi kami ambil risiko dan syukur tiada kejadian buruk berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 5:31 AM