KYLE bakal menemui peminat di Malaysia menerusi konsert Lightspeed World Tour pada 5 Januari depan.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PENYANYI rap terkenal Amerika Syarikat, Kyle Harvey bakal menemui peminat di Malaysia menerusi konsert Lightspeed World Tour pada 5 Januari depan.

Konsert yang akan berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur itu adalah yang pertama kali buat Kyle di negara ini.

Turut dikenali sebagai SuperDuperKyle, penyanyi yang juga pelakon ini mula berjinak-jinak dengan muzik rap sejak remaja.

Karya pemuda berusia 25 tahun ini banyak dipengaruhi muzik hip hop menyelitkan elemen permainan video era 1980-an.

Pertaruhan lagu iSpy menampilkan Lil Yachty tahun lalu menerima sambutan luar biasa sehingga menduduki tempat pertama dalam carta Billboard Hot Rap Songs.

Single terbabit turut kekal dalam carta Top 20 Hip Hop/R&B iTunes selama beberapa minggu. Setakat ini, iSpy sudah didengar lebih 496 juta kali dan dinobatkan antara lagu paling banyak diputarkan di platfom penstriman itu bagi tahun lalu.

Pencapaian itu sekali gus melonjakkan nama Kyle di peringkat antarabangsa.

Sementara di YouTube, video muzik iSpy sudah ditonton lebih 269 juta kali.

Susulan iSpy, Kyle memperkenalkan album sulung berjudul Light of Mine, Mei lalu. Album menghimpunkan 15 lagu termasuk iSpy turut menampilkan kolaborasi Kyle dengan beberapa penyanyi terkenal antaranya Alessia Cara, Kehlani dan Khalid.

Terbaru ini pula, penyanyi kelahiran California itu beraksi dalam filem komedi The After Party terbitan Netflix.

Dia membintangi watak hero sebagai anak muda berusia 18 tahun, Owen yang bercita-cita menjadi bintang rap.

Watak itu dikatakan sesuai untuk Kyle kerana pernah menyimpan impian sama dengan Owen ketika di sekolah menengah.

Buat masa sekarang, Kyle sibuk dengan konsert jelajah di Amerika Utara sebelum singgah di Malaysia untuk bertemu peminat pada Januari ini.

Harga tiket menyaksikan konsert Kyle Live in Kuala Lumpur 2019 bermula pada harga RM128 hingga RM298.

Tempahan tiket dan maklumat lanjut boleh layari laman web www.galactix.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:31 AM