M Nasir bersama Jamal Abdillah (kanan) dan Cassidy pada sidang akhbar Konsert Duo Lagenda di Istana Budaya. FOTO/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


KONSERT Duo Legenda bukan saja menggabungkan dua penghibur hebat tanah air, tetapi menyaksikan buat julung kalinya Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah berkongsi pentas di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 20 hingga 23 Disember ini.

Jamal, 59, berkata, beliau sudah lama menyimpan impian mahu bekerjasama dengan M Nasir dalam satu konsert berskala besar dengan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) itu.

“Saya mahu bekerjasama dengan M Nasir kerana dia seorang legenda dalam industri muzik tanah air. Ketika pembabitan awal dalam bidang nyanyian, saya memang sering menyanyikan rangkaian lagu ciptaan M Nasir untuk kumpulan Flybaits dulu,

“Malah, saya turut memilih lagu ciptaannya iaitu Senandung Semalam nyanyian asal Alleycats ketika muncul juara Bintang RTM dulu,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan pula, Jamal berkata, dia akan menampilkan segmen santai bersama M Nasir.

“Dalam segmen itu, kami akan bercerita mengenai perkara yang orang jarang dengar sekali gus mengimbau nostalgia ketika bertemu kali pertama di Lion Studio, Singapura.

“Walaupun genre muzik kami berbeza kerana saya penyanyi pop dan M Nasir pula dikenali dengan irama Nusantara tetapi gabungan kami pasti dinantikan peminat kami berdua nanti,” katanya.

Selain menyampaikan rangkaian lagu popular masing-masing, Jamal turut berduet dengan M Nasir menerusi empat lagu iaitu Kepadamu Kekasih, Kiambang, Malam dan Ghazal Untuk Rabiah.

Sementara itu, konsert kali ini turut menampilkan segmen istimewa bersama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk mengumpul dana membantu golongan memerlukan.

Siti Hasmah akan menggesek biola untuk mengiringi lagu Gubahanku dendangan M Nasir dan Jamal pada malam ketiga konsert pada 22 Disember nanti.

Penampilan Cassidy

Selepas gagal mendapatkan penyanyi popular Wany Hasrita, Jamal memilih penyanyi dari Australia yang mencipta nama di sini, Cassidy Anderson untuk membuka tirai konsert Duo Legenda nanti.

“Saya memilih Cassidy sebagai penyanyi undangan kerana tertarik dengan bakatnya yang boleh menyanyikan rangkaian lagu Melayu dengan baik.

“Antaranya kebolehan dia menyanyikan lagu saya di YouTube seperti Aku Penghibur dan Sandarkan Pada Kenangan. Selain itu, dia juga fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Cassidy juga akan berduet dengan M Nasir menerusi lagu Dua Insan dan Sandar Pada Kenangan bersama Jamal. Tidak ketinggalan, dia akan menyanyi secara solo lagu popular Jamal iaitu Derita Cinta.

Konsert Duo Legenda yang dibawakan oleh Shapadu ini berlangsung selama empat malam berturut-turut bermula 20 hingga 23 Disember depan.

Bagi maklumat dan tempahan tiket, boleh layari www.ilassotickets.com atau menghubungi talian 03-21706333.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:30 AM