PELURU berpandu dilepaskan Israel susulan kejadian itu. - Reuters
Agensi

TEBING BARAT: Pasukan khas Israel membunuh seorang komander Hamas selepas cubaan operasi sulit untuk menculiknya penuh drama termasuk menyamar sebagai wanita, mencetuskan pertempuran yang mengakibatkan kematian dan kecederaan kedua-dua pihak, lapor media.

Pihak berkuasa Palestin berkata, komander yang maut, Nourreddin Baraka terbunuh dalam kejadian itu. Tentera Israel mengesahkan pertempuran membabitkan senjata api berlaku malam kelmarin manakala Kementerian Kesihatan Palestin berkata, tujuh penduduk tempatan mati ditembak tentera Israel, lapor Daily Mail.

Israel kemudian mengesahkan seorang askarnya mati manakala seorang lagi parah.

Dalam satu kenyataan, sayap bersenjata Hamas, Briged Qassam berkata, askar Israel yang menyamar menaiki kenderaan awam dan memasuki sejauh 3.2 kilometer ke dalam Gaza sebelum menembak mati seorang komander.


JENAZAH mangsa yang terkorban termasuk Nourreddin dibawa ke rumah mayat. - Daily Mail

Menurutnya, anggota Hamas kemudian mengejar kereta itu sebelum dibedil serangan udara Israel yang membunuh beberapa orang.

Pihak berkuasa Palestin yang menyelar kejadian itu sebagai ‘perbuatan pengecut’ berkata, beberapa pejuang Hamas ditembak dari kereta yang bergerak.

Al Jazeera memetik penduduk tempatan turut mengatakan pesawat Israel melepaskan lebih 40 peluru berpandu ke kawasan terbuka di tempat kejadian.

Susulan tembak-menembak itu, siren serangan udara dibunyikan di selatan Israel menandakan tembakan roket dari Gaza.

Operasi darat ke dalam Semenanjung Gaza sangat jarang dilancarkan dan berkemungkinan besar meningkatkan ketegangan.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata: “Tembak-menembak berlaku ketika aktiviti operasi Pasukan Pertahanan Israel di Semenanjung Gaza.”

Sumber pihak berkuasa Palestin berkata, pertempuran itu berlaku di timur Khan Younis, di Semenanjung Gaza.

Susulan kejadian, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menamatkan lawatannya ke Paris untuk pulang ke Israel.

Kejadian itu berlaku dalam pada pemerintah Israel serta Hamas dilihat semakin berjaya mempersetujui gencatan senjata tidak rasmi.

Minggu lalu, Israel membenarkan Qatar menghantar AS$15 juta (RM63 juta) kepada Hamas, manakala Hamas turut mengurangkan demonstrasi mingguannya di sempadan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:40 AM