NURUL Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, (tengah) bersama Mohd Khalid Fatharuddin, 58, menunjukkan slip keputusan cemerlang peperiksaan percubaan SPM 2018 dan surat rayuan permohonan taraf kewarganegaraan anak angkat yang dikemukakan pihak keluarga angkat kepada KDN sebelum ini di Taman Kerian Permai. FOTO Ihsan keluarga
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
cnews@nstp.com.my


“KAMI mohon maaf pada semua, kenyataan yang diberi tidak benar,” kata Ibrahim Idris, 53.

Ibrahim mewakili keluarga angkat Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, di Parit Buntar memohon maaf berhubung isu pelajar berkenaan yang dikatakan tidak boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tiada kad pengenalan.

Menurutnya, isu ketiadaan kad pengenalan itu dibangkitkan melalui media dengan harapan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mempercepatkan permohonan kelulusan taraf kewarganegaraan yang dipohon sejak 2013.

“Kami memohon maaf kepada pentadbiran SMK Panglima Bukit Gantang kerana kenyataan media kami berikan semalam menjejaskan imej dan reputasi sekolah termasuk Pengetua, Mohd Saat Hashim yang sebenarnya sangat komited membantu anak angkat kami dari awal lagi.

“Hakikatnya, kami sudah dimaklumkan pentadbiran sekolah bahawa Nurul Syuhada layak menduduki peperiksaan itu sejak bulan Mac lalu,” katanya dalam pertemuan khas di antara wakil keluarga dan pentadbiran sekolah terbabit di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, pihaknya kesal kerana kesan kenyataan media yang diberi itu menyebabkan pelajar cemerlang berkenaan kini berada dalam keadaan tertekan dan turut menjejaskan imej serta reputasi sekolah terbabit.

Katanya, pihaknya tidak menyangka kenyataan media yang dikeluarkan dengan harapan dapat mempercepatkan permohonan kad pengenalan Nurul Syuhada itu mendapat perhatian serius Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sekali gus memberi implikasi negatif sangat besar kepada banyak pihak.

Sementara itu Yang Di Pertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Panglima Bukit Gantang, Samsuddin Mohd Rashidi berkata, kenyataan keluarga angkat Nurul Syuhada mendakwa pelajar berkenaan tidak dibenarkan menduduki SPM kerana tiada kad pengenalan adalah tidak benar.

“Isu kad pengenalan tidak timbul dan sebenarnya nama pelajar ini sudah didaftarkan dan diperakui pada Mac lalu, malah pengurusan sekolah tidak pernah melarang atau menghalang pelajar ini mengambil SPM.

“Kesan kenyataan media dikeluarkan itu mengakibatkan reputasi dan imej sekolah terjejas terutama pengetua apabila pihak sekolah dikecam susulan didakwa gagal menyelesaikan hal kebajikan pelajar itu,” katanya.

Berita berkaitan

Alhamdulillah, Nurul Syuhada boleh duduki SPM

Rayuan pelajar cemerlang menjelang SPM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 2:25 PM