OSMAN Ali. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“TERIMA kasih atas teguran mufti dan cara teguran sangat berhemah. Pihak mufti sudah menjalankan tanggungjawab sebaiknya.

“Beliau sudah memberikan pandangan dan teguran yang baik dan saya amat menghormatinya.”

Demikian kata pengarah terkenal Osman Ali berhubung surat terbuka Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman Facebook berhubung judul drama arahannya, Isteri Untuk Disewa yang bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah.

Osman ketika dihubungi berkata, dia mengakui judul novel dan drama itu boleh disalah tafsir jika tidak menonton atau membaca keseluruhan ceritanya.

“Dalam cerita ini langsung tiada unsur sewa menyewa isteri, cuma judul drama itu yang mengundang orang ramai untuk tersalah tafsir dengan tema cerita,” katanya.

Drama adaptasi Novel Isteri Untuk Disewa karya Syamnuriezmil terbitan produksi Nuansa Sdn Bhd itu menggandingkan pelakon popular Fattah Amin dan Tiz Zaqyah.

Osman berkata, pihaknya pernah terfikir untuk menukar judul drama itu sebelum proses penggambaran dimulakan.

“Namun, disebabkan ia judul asal novel itu, jadi kami tidak bercadang untuk menukar judul lain demi mengekalkan keasliannya.

“Saya juga ada menyenaraikan beberapa judul lain sekiranya judul drama itu perlu ditukar sebelum ini,” katanya.

Osman juga mengharapkan netizen yang tidak pernah membaca novel dan menonton drama ini supaya menontonnya terlebih dulu sebelum memberikan komen.

“Sebenarnya, tiada langsung unsur sewaan isteri dalam novel dan drama ini. Sebaliknya, ia hanya memaparkan kisah seorang wanita diupah untuk menyamar sebagai isteri dan dia hanya menyamar depan ibu bapa untuk sementara waktu sebelum bertemu jodoh sebenar,” katanya.

Osman berkata, isu ini adalah satu pengajaran supaya semua penulis novel, penerbit drama dan stesen televisyen lebih sensitif dalam memilih judul sesebuah drama.

“Ini bukan tanggungjawab pengarah seorang kerana ia membabitkan sebuah produk yang diluluskan dan diadaptasikan dari sebuah karya novel popular,” katanya.

Terdahulu, Dr Zulkifli dalam surat terbukanya berkata, judul drama bersiri Isteri Untuk Disewa sekiranya difahami secara zahir amat bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah, begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

Menurutnya, isteri bukan untuk disewa kerana isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.

“Judul yang provokatif itu dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak, mengenai implikasinya pada masyarakat.

“ Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Quran, hadis dan pandangan fuqaha’.

“Sewaan isteri adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam, ”katanya.

Berita berkaitan:

  • Surat mufti bagi pengarah Isteri Untuk Disewa
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:13 PM