BAYI perempuan yang selamat dilahirkan dalam jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Petra Jaya. FOTO ihsan Bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


“DALAM keadaan panik, saya hanya terfikir untuk membawa anak yang sarat untuk bersalin ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya untuk mendapatkan bantuan ke hospital kerana keadaan trafik yang sesak menuju ke Kuching.

“Alhamdulillah, hanya beberapa minit selepas anak saya dimasukkan ke dalam jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), anak saya selamat melahirkan bayi perempuan tanpa sempat kenderaan itu bergerak keluar dari balai bomba," kata Suraya Drahman, 51.

Anak perempuanya, Nurul Jasmin Abdul Malik, 23, melahirkan bayi perempuan itu di dalam jentera ERMS, 7 pagi semalam ketika mahu mendapatkan bantuan bomba untuk membawanya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching untuk bersalin.

Menceritakan semula detik itu, Suraya berkata, anaknya mengadu sakit untuk bersalin pada 4 pagi sebelum dia dan menantunya Mohd Rayyan Abdullah, 23, bergegas dari kediaman mereka di Kampung Budaya, Santubong membawa anaknya ke HUS pada 6.30 pagi.

Menurutnya, keadaan trafik ke bandar Kuching ketika itu sesak menyebabkan beliau panik kerana keadaan anaknya yang sudah hampir bersalin sebelum membuat keputusan menuju ke BBP Petra Jaya untuk mendapatkan bantuan pada 6.50 pagi.

"Saya berlari ke pejabat am balai bomba sebelum mengetuk pintu. Seorang pegawai keluar sebelum meminta anak saya dibawa ke perkarangan balai bomba untuk dihantar ke hospital menggunakan kenderaan ERMS.

"Dengan bantuan anggota bomba, anak saya diangkat masuk ke dalam kenderaan ERMS namun tidak sempat kenderaan itu keluar dari perkarangan balai, anak saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.9 kilogram," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, bukan setakat memberikan bantuan kecemasan, lebih bermakna apabila anggota bomba yang bertugas ketika kejadian juga melaungkan iqamat pada cucu ketiganya itu.

"Mereka (anak dan cucu) kini masih menerima rawatan di HUS namun dijangka dibenarkan keluar hari ini selepas doktor berpuas hati keadaan bayi dan ibunya yang sihat," katanya.

Tambahnya, beliau sekeluarga berterima kasih kepada anggota bomba BBP Petra Jaya yang sanggup memberikan bantuan kecemasan untuk kes sedemikian dan kenangan ini akan terus tersemat dalam memori mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ketua BBP Petra Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba, Tan Min Chai berkata, ini adalah pengalaman pertamanya berdepan dengan situasi bayi dilahirkan di dalam kenderaan ERMS sepanjang 10 tahun bertugas sebagai pegawai bomba.

"Bayi perempuan itu adalah bayi pertama yang dilahirkan di dalam kenderaan ERMS di Sarawak dan mungkin juga di Malaysia. Saya dan anggota BBP Petra Jaya berbangga kerana dapat menyelamatkan ibu dan bayi dalam situasi yang genting seperti semalam.

"Kami bercadang untuk menjadikan bayi perempuan itu sebagai anak angkat BBP Petra Jaya dan akan melawatnya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kejadian semalam membuktikan kepercayaan masyarakat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ketika berdepan situasi kecemasan amat tinggi dan jabatan itu akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam apa juga keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 12:15 PM