GAMBAR hiasan
Hasbi Sidek

KANAK-KANAK lelaki maut selepas dirawat di Hospital Ampang, Ampang, semalam, dipercayai akibat didera bapa tiri.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu patah tulang belakang berhampiran kepala selain banyak kesan lebam pada muka dan badan.

"Ibu dan bapa tirinya menghantar mangsa ke Jabatan Kecemasan Hospital Ampang kerana tidak sedarkan diri. Mangsa didapati mempunyai banyak kesan luka dan lebam di muka, perut, dada serta bahagian belakang.

"Selepas 30 minit dirawat, mangsa meninggal dunia sebelum pegawai perubatan yang merawatnya membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasangan berkenaan meninggalkan hospital sebaik menghantar mangsa ke hospital.

"Kedua-duanya dipercayai melarikan diri dan pihak kami kini sedang giat memburu mereka," katanya.

Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:16 AM