SITI Kamala dan Kamarul melayan kerenah empat cucu yang dipelihara sejak setahun lalu.
Mohd Khidir Zakaria
cnews@nstp.com.my


SEREMBAN: “Pulanglah nak, mak sudah tak berapa sihat, kasihan anak-anak yang rindukan ibunya.

“Jika terjadi sesuatu ke atas mak dan ayah, siapa yang akan jaga anak-anak kamu?” kata Siti Kamala Nik Mat, 59.

Siti Kamala dari Taman Sri Pulasan di sini, merayu anak dan menantunya yang menghilangkan diri sejak setahun lalu supaya pulang menjenguk empat anak yang merindui mereka.

Menurutnya, anak perempuannya yang berusia 29 dan suami berusia 30-an menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita selepas keluar mencari kerja di ibu kota.

“Sejak setahun lalu anak dan menantu saya gagal dihubungi, malah mereka juga tidak menghubungi kami, sekali gus menyebabkan saya terpaksa mengambil alih tugas menjaga serta menguruskan empat cucu yang berusia tiga hingga 10 tahun.

“Selain memikirkan nasib empat cucu itu, saya juga bimbangkan kesihatan saya dan suami, Kamarul Bahrin Jamaluddin, 58, yang tidak menentu kebelakangan ini” katanya ketika ditemui selepas menerima mesin basuh dan makanan sumbangan Tesco Senawang Jaya yang disampaikan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), di sini.

Menurut Siti Kamala, empat cucu yang dijaganya ialah Siti Nuratiqah Hazwani Abd Rahman, 10, Mohammad Haiqal Zaquan Abd Rahman, 7, Mohammad Hairi Zaquan, 5, dan Mohammad Hairul Zaquan, 3, terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

“Saya tidak tahu ingin mengadu kepada siapa lagi kerana anak perempuan dan menantu menghilangkan diri sejak setahun lalu atas alasan mencari kerja.

“Saya dan suami tiada pendapatan tetap, hanya mengharapkan sumbangan orang ramai. Duit sewa rumah sebanyak RM350 sebulan pun sudah lama tertunggak, tetapi bernasib baik pemilik rumah masih memberi keizinan untuk tinggal lagi di sini.

“Kalau dia suruh keluar, kami pun tidak tahu mahu ke mana,” katanya yang menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Siti Kamala berkata, dia hanya kasihankan cucunya yang tidak pernah membawa duit belanja sekolah kerana suaminya juga tidak mampu bekerja kerana turut menghidap sakit yang sama.

“Dua cucu saya belajar di dalam tahun empat dan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Ulu, Seremban. Mereka murid yang bijak walaupun serba kekurangan ke sekolah kerana kami tidak mampu menyediakan keperluan mereka.

“Cucu saya tidak pernah mengeluh walaupun kerap berlapar. Nasib baik jiran di sini prihatin membantu menghulurkan sumbangan makanan,” katanya.

“Ibu dan ayah mereka tidak pernah menghubungi kami atau memberi wang belanja,” katanya.

Beliau berkata, keluarganya turut menerima bantuan daripada Baitulmal berbentuk baucer makanan RM80 untuk tiga bulan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0510041000148552 Kamarul Bahrin Jamaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 8:31 AM