PELAKON Filem Kalla, Riz Amin. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


SEJAK memulakan karier lakonan pada 2004, Riz Amin, 33, tidak pernah berputus asa untuk memahat nama dalam bidang diminatinya itu.

Kehadirannya disedari tetapi posisinya dalam industri hiburan seakan-akan kurang diberi perhatian.

Riz berkata, fokus utamanya adalah terus mengukuhkan kerjaya lakonan dan menyahut segala cabaran watak.

Bagaimanapun, tahun lalu menjadi kejayaan peribadi buat pelakon Polis Evo 2 ini apabila kelab peminatnya yang dinamakan Riz Amin Nation ditubuhkan dan dia sangat bersyukur apabila mendapat tempat di hati peminat.

“Saya pernah terfikir layakkah saya mempunyai kelab peminat? Bukan apa, saya perlu berpijak di bumi nyata bahawa saya bukanlah nama gah sebagaimana pelakon lain yang pengikutnya berjuta-juta.

“Peminat sendiri yang datang kepada saya dan mencadangkan mengenai penubuhan Riz Amin Nation. Rasanya jika mereka tak berbuat demikian, saya sendiri pun masih tidak yakin untuk memiliki kelab peminat.

“Untuk itu, saya benar-benar terharu dengan kesungguhan mereka apalagi peminat berkenaan adalah individu yang menyokong saya sejak dulu. Syukur, masih belum terlambat rupanya untuk saya membina gawang peminat sendiri,” katanya.

Riz juga mengakui kepentingan memiliki kelab peminat bukan setakat ditubuhkan sebaliknya perlu dijaga dengan baik.

Baginya, dia perlu aktif untuk turun padang dan sentiasa mencari masa bertemu peminatnya.

“Sebelum ini saya hanya mampu mendengar daripada rakan artis lain bahawa kelab peminat ini sangat penting. Bukan sekadar meraih undi dalam mana-mana acara tetapi sebagai sistem sokongan daripada pelbagai aspek.

“Disebabkan itu, saya mahu sentiasa dekat dengan mereka baik menerusi media sosial mahupun aktiviti dianjurkan. Sekarang saya sentiasa berkomunikasi dengan pengendali Riz Amin Nation untuk sebarang perkembangan.

“Seboleh-bolehnya saya mahu turut serta dengan mana-mana pertemuan yang mereka anjurkan. Sokongan padu mereka perlu dibalas dan inilah sebenarnya perlu ada kelab peminat,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, Riz bersyukur apabila terus dihujani tawaran berlakon walaupun namanya belum sebaris pelakon popular lain. Dalam erti kata lain, rezekinya tidak pernah putus.

Lebih sedekad berada dalam gelanggang seni, dia juga sedar perlu melipatgandakan usaha. Disebabkan itu, Riz memberanikan diri menghubungi penerbit dan pengarah untuk mendapatkan tawaran berlakon.

“Isteri yang mencadangkan saya melakukannya. Ketika itu, kerjaya saya goyah sedikit dan kurang tawaran lantas sahut cabaran isteri supaya saya sendiri menghubungi penerbit atau pengarah untuk mendapatkan tawaran berlakon.

“Alhamdulillah, pendekatan saya itu sangat berkesan. Apabila menghubungi mereka sendiri dan memberitahu saya ada kelapangan, barulah senang untuk diberikan tawaran,” katanya.

Selepas membintangi filem Kalla: Hidup Atau Mati yang ditayangkan di pawagam bulan lalu, Riz kini teruja menantikan tayangan Polis Evo 2 dan Tujuh pula.

Menurutnya, tahun ini sememangnya menjadi tahun yang cukup besar buatnya.

“Apa lagi yang saya boleh katakan? Syukur sangat apabila satu demi satu produk lakonan saya ditayangkan. Perkara ini menjadikan semangat saya lebih membara untuk terus berkarya dalam lakonan. Sejujurnya, saya tidak kisah watak apa diberikan memandangkan sudah pelbagai jenis watak saya cuba.

“Mentaliti saya mudah saja. Setiap watak itu ada kekuatannya sendiri walaupun mungkin masih ada persamaan. Saya akan pastikan interpretasi terhadap watak yang beberapa kali saya lakukan ada perbezaan nyata. Saya tidak mahu nanti sesebuah watak itu dibayangi watak lain yang pernah saya lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:00 AM