MAT Redho berkongsi kejayaan bersama isteri dan dua anak.
Mahaizura Abd Malik
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Terpaksa pecahkan tabung demi menampung kos perbelanjaan ke pertandingan di luar negara.

Itu pengorbanan bekas juara Fear Factor Malaysia, Mohd Redha Rozlan sebelum mencipta kejayaan dalam Grand Final Ninja Challenge League (NCL) 2018 di Perth, Australia, Isnin lalu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Mat Redho mengakui perbelanjaan dirinya bersama isteri dan dua anak mereka ke Perth tidak mendapat sebarang tajaan, sebaliknya menggunakan wang simpanan mereka sekeluarga.

“Ya, setiap kali pertandingan di luar negara, memang saya akan pergi sendiri atau dengan tambang sendiri dan dalam masa sama saya hantar banyak permohonan untuk ditaja.

“Cuma beberapa saja yang membantu dan bagi pertandingan di Perth ini memang tak ada tajaan langsung dari mana-mana pihak,” katanya kepada Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp.

Dia yang masih berada di Perth menjelaskan permohonan mendapatkan tajaan hanya membabitkan kos dirinya saja tidak termasuk ahli keluarga yang menemaninya ke luar negara.

“Cuma di sini saya ingin tekankan, semua permohonan tajaan yang diminta untuk saya seorang tidak termasuk keluarga saya.

“Kami ada tabung sendiri untuk keluar negara. Macam biasa kalau hendak ke pertandingan luar pasti kami pecahkan tabung.

“Dalam masa sama saya tak pernah putus asa mencuba nasib untuk ditaja,” katanya.


MAT Redho beraksi pada NCL.

Menurutnya, tahun lalu dia mendapat tajaan daripada beberapa penaja termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Cuma tahun ini mungkin KBS sibuk dengan Sukan Asia dan baru habis Hari Sukan Negara. Jadi mungkin sedikit lewat bagi pihak KBS (untuk berikan tajaan).

“Tetapi, saya berharap KBS tetap menaja saya sebagai atlet mereka,” katanya.

Katanya, dia berharap usahanya dalam mengharumkan nama negara di mata dunia akan membuka mata semua pihak terutama membabitkan hal penajaan.

“Saya harap ada pihak yang nampak usaha saya dan semangat dorongan yang keluarga saya pupukkan.

“Semoga ia menjadi satu pendedahan kepada generasi akan datang dan anak-anak kami,” katanya.

Isnin lalu, tuah menyebelahi pakar teknologi maklumat berusia 30 tahun itu apabila menjuarai pentas akhir NCL 2018 walaupun baru pertama kali dia menyertai NCL.

Dia yang layak menerima anugerah Last Man Standing itu merekodkan catatan masa terbaik 5 minit 13.09 saat (s) selepas melepasi semua halangan, sekali gus meninggalkan pesaing dari American Ninja Warrior, Jake Murray di tempat kedua manakala tempat ketiga milik Cameron D’Silva dari negara tuan rumah.


BENDERA Malaysia dikibarkan Mat Redho ketika menerima hadiah kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:17 PM