AMINUDDIN Harun. FOTO Arkib NSTP
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


MENTERI Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang dibenarkan keluar dari Hospital Serdang, Selangor, Isnin lalu selepas menjalani pembedahan jantung, dimasukkan semula ke hospital itu, malam kelmarin.

Sumber berkata, Aminuddin terpaksa dimasukkan semula ke hospital itu untuk pemantauan biasa selepas mengeluarkan terlalu banyak kahak.

Beliau bagaimanapun menafikan Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri mengalami jangkitan kuman pada paru-paru seperti yang disebarkan pihak tertentu.

“Keadaan beliau (Aminuddin) stabil, malah kelihatan semakin sihat kerana boleh bercakap, bangun dan berjalan sendiri. Beliau juga tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan jantung. Bagaimanapun, doktor mengarahkan beliau supaya banyak berehat.

“Aminuddin pada mulanya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, namun pakar yang mengendalikan pembedahan jantungnya sebelum ini memintanya dihantar ke Hospital Serdang untuk pemantauan.

“Jadi beliau bukan dirujuk ke Hospital Serdang kerana keadaan kesihatannya bertambah teruk (seperti didakwa),” katanya kepada NSTP, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Aminuddin dijangka bercuti selama dua minggu selepas menjalani pembedahan pada 26 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:29 PM