PUNYA aura tersendiri dan unik.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


MUTAKHIR ini, nama Khalid disebut-sebut antara penyanyi muda yang hebat. Lagu penyanyi kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu pantas menjadi kegilaan seluruh dunia.

Mempertaruhkan genre R&B kontemporari, Khalid, 19, tampil memecah stereotaip penyanyi muda seangkatannya yang lebih cenderung memilih muzik hip hop dan pop.

Penyanyi Young, Dumb and Broke itu berjaya tampil dengan keunikan, sekali gus meletakkan dirinya di liga tersendiri. Kehadirannya dalam industri muzik tidak perlu dibandingkan dengan sesiapa.

Tidak hairanlah dia disanjung ramai malah pesona dan tenaganya di pentas cukup mengagumkan. Hal itu terbukti sewaktu dia menjayakan konsert Khalid Live in Malaysia, baru-baru ini sempena Urbanscapes 2018.

Lebih 1,200 peminat menonton persembahannya dan mejoritinya anak muda. Meskipun masih ‘hijau’, kemampuannya sebagai penghibur diakui ramai.

Vokal Khalid tidak klise. Selain unik, kemampuan serta tenaga nyanyiannya tidak goyah meskipun menyampaikan banyak lagu secara berterusan. Kemampuannya itu pernah menjadi perdebatan dalam kalangan peminat. Maklumlah bukan semua penyanyi muda mampu tampilkan kualiti vokal mengagumkan apabila menyanyi secara langsung.

Selain itu, Khalid bijak menjadikan persembahannya lebih besar meskipun beraksi di pentas kecil. Waima ruang terhad, dia tidak membataskan pergerakannya seolah-olah sedang mengadakan persembahan di premis besar seperti stadium.

KHALID muda tetapi matang.

Dia juga bijak mengambil hati penonton sepanjang persembahannya itu.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir. Saya tidak jangka sambutan sebegini hebat.

“Ini kunjungan sulung saya ke Malaysia dan mendapat penghormatan sebegini. Mana mungkin saya akan lupakan saat indah ini dan saya akan kembali lagi ke sini,” katanya.

Walaupun hanya dengan dua album, karya Khalid tersemat utuh di hati peminatnya. Kebanyakan penonton turut sama menyanyikan lagu yang disampaikan figura terkenal itu.

Dari awal persembahan sampailah lagu terakhir, penonton tetap setia menyanyi bersamanya. Walaupun transisi melodinya bertukar-tukar daripada perlahan kepada rancak, suasananya masih sama.

Penonton nyata terhibur dengan persembahan Khalid malah penyanyi itu juga teruja meneruskan acara terbabit.

Pada konsert itu, penyanyi berkenaan mempersembahkan lagu 8teen, Winter, American Teen, Coaster, Therapy, Sad Love Song, Saved, East Side, Hopeless, Shot Down dan Angels.

Tidak ketinggalan lagu Motions, Young, Dumb and Broke, Better, Silence, Love Lies, Rollin, Lets Go, Location, Keep Me dan OTW.

Khalid berjaya menakluk dunia dengan bakatnya dan dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik Grammy Awards tahun ini. Karyanya disanjung kerana dia berjaya menterjemahkan kisah yang dekat

di hati semua pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 6:00 AM