PERALATAN yang ditemui dalam serbuan pasukan JSJK Bukit Aman ke atas sebuah banglo di Taman Duta, Bukit Tunku, Kuala Lumpur petang semalam sebelum menahan 44 warga Taiwan dan China terbabit melakukan kegiatan Macau Scam. FOTO/NSTP
Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Sindiket Macau Scam dikesan mengalami ‘evolusi’ apabila mengguna pakai modus operandi baru bertujuan memastikan mangsa mereka terjerat.

Terbaru, sindiket itu dikesan menggunakan helah memaksa mangsa membuat akaun perbankan dalam talian dengan pendaftaran menggunakan nombor telefon suspek bagi membolehkan transaksi wang dilakukan penjenayah terbabit.

Pemilihan mangsa dilakukan secara rawak, namun kebanyakan mereka yang tertipu membabitkan warga emas serta tidak pernah mendaftar akaun perbankan secara dalam talian,

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, bermula pada 2012, terdapat empat perubahan taktik utama dikesan membabitkan sindiket Macau Scam di negara ini.

“Sindiket itu yang didalangi warga asing pada mulanya menubuhkan pusat panggilan di negara ini dengan menjadikan individu dari negara asal mereka sebagai mangsa.

“Selepas itu, sindiket mula berkembang apabila ada di antara rakyat Malaysia yang belajar kaedah penipuan sindiket itu untuk menipu orang luar (warga asing).

“Ini berdasarkan tangkapan individu warga tempatan yang didapati melakukan kegiatan itu sebelum ia terus berkembang dengan menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman.


OPERASI Macau Scam yang melibatkan warga China dan Taiwan di Taman Melawati. FOTO/ HAFIZ SOHAIMI

Ahmad Noordin berkata, perasaan takut antara punca utama dikesan menyebabkan mangsa tertipu dengan sindiket terbabit selepas diugut penjenayah yang menyamar sebagai pegawai polis, kastam, mahkamah atau bank.

“Modus operandi mereka adalah menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai kes jenayah atau membuat pinjaman dengan bank tertentu.

“Malah, sindiket itu licik dengan menyatakan maklumat peribadi mangsa bagi meyakinkan mangsa supaya mereka percaya terhadap panggilan.

“Mangsa yang panik kemudian diminta untuk menyerahkan wang kononnya bagi menyelesaikan perkara itu selain diugut supaya tidak mendedahkan perkara berkenaan kepada sesiapa bagi mengelak tindakan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata, kini muncul taktik terbaru sindiket terbabit iaitu meminta mangsa mendaftar akaun perbankan secara dalam talian dengan menggunakan nombor telefon milik suspek bagi memudahkan penerimaan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).


INFOGRAFIK

“Dalam era teknologi ini, kebanyakan pemilik akaun mendaftarkan akaun mereka secara dalam talian. Namun ada juga yang masih dengan simpanan wang di dalam bank secara konvensional terutama di kalangan warga emas sekali gus menjadikan mereka mangsa ‘mudah’ sindiket terbabit,” katanya.

“Dalam kes membabitkan transaksi pemindahan wang secara dalam talian, polis berdepan kesukaran untuk mengesan suspek memandangkan mereka menggunakan nombor pra-bayar kerana ada di antara pendaftaran terhadap nombor telefon berkenaan dibuat oleh pihak ketiga,” katanya.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan memandangkan pihak polis serta institusi kewangan tidak pernah membuat sebarang urusan melalui panggilan telefon.

“Kami mahupun institusi kewangan tidak pernah membuat sebarang urusan menerusi panggilan telefon. Sekiranya menerima panggilan telefon yang meragukan, orang ramai diminta untuk menyemak perkara itu dengan pihak berkaitan termasuk polis dan pihak bank bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan,” katanya.


OPERASI Macau Scam yang melibatkan warga China dan Taiwan di Taman Melawati. FOTO/ HAFIZ SOHAIMI

Rakyat Malaysia senang ditipu?

Adakah rakyat Malaysia senang sangat ditipu? Persoalan itu wujud susulan rekod mendapati sebanyak 1,847 kes penipuan sindiket Macau Scam dilaporkan di seluruh negara dengan jumlah kerugian lebih RM107 juta.

Angka besar kerugian itu direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober lalu.

Ini sekali gus dianggap rekod baru susulan berlaku peningkatan ketara jumlah kerugian berbanding RM44.8 juta sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, jumlah direkodkan itu meningkat berbanding tempoh sepanjang tahun lalu.

“Tahun lalu, sebanyak 1,414 kes direkodkan di seluruh negara membabitkan Macau Scam dengan kerugian berjumlah RM 44.8 juta.

“Bagaimanapun, jumlah itu meningkat sebanyak 433 kes kepada 1,847 kes sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini dengan peningkatan kerugian berjumlah RM62.2 juta,” katanya.

Ahmad Noordin berkata, peningkatan jumlah kes dan kerugian direkodkan dalam tempoh berkenaan menunjukkan masih ramai yang tidak peka dengan jenayah Macau Scam.


PERALATAN yang digunakan untuk kegiatan Macau Scam di Taman Sri Gombak Height. FOTO/ Abdullah Yusof

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 9:51 AM