BENNETT dan isterinya. - Agensi
Agensi

TORONTO: Seorang lelaki kecewa selepas dibawa keluar daripada penerbangannya selepas dia tidur mati sebelum pesawat itu berlepas kerana pramugari menyangka dia pengsan dan perlu mendapatkan rawatan kecemasan.

Stephen Bennett berkata, dia mengambil pil tidur sebelum menaiki penerbangan WestJet dari lapangan terbang Toronto untuk bercuti di Cuba bersama isterinya.

Apabila menaiki pesawat dia terus tidur kerana terlalu mengantuk.

Sebelum pesawat itu berlepas, kru kabin beberapa kali mengejutkan Bennet tetapi dia tidak sedar menyebabkan mereka menyangka lelaki berkenaan memerlukan rawatan kecemasan dan segera membawanya keluar dari pesawat dengan menaiki kerusi roda.

Selepas menjalani rawatan, doktor di lapangan terbang mengesahkan Bennett sihat tetapi pihak pengurusan syarikat itu tidak membenarkan lelaki itu menaiki pesawat.

“Saya seperti tiada hak,” kata Bennett kepada CBC News.

Menurutnya, kru kabin memberitahunya: “Kamu perlu pergi kerana kami tidak dapat mengejutkan kamu. Ini adalah untuk keselamatan penumpang lain.”

“Saya sangat malu,” jelasnya.

Menurutnya, kerana tidak dapat menaiki penerbangan itu dia terpaksa menempah hotel untuk bermalam di Toronto sebelum menaiki penerbangan lain untuk ke Cuba pada keesokan harinya.

“Emosi kami terjejas dan terpaksa menampung kerugian akibat kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 8:19 AM