RAJA Shahriman ketika melakukan kerja kimpalan bagi menghasilkan arca besi. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Melihat arca besi rekaan Raja Shahriman Raja Aziddin, 51, pasti tidak terjangkau dek akal bagaimana binaan arca yang melawan hukum fizik ini dapat dihasilkan sebegitu unik.

Apakan tidak, besi yang keras itu kelihatan seolah-olah materialnya lembut apabila hasil sentuhan tangan anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu berpintal-pintal dan beralun-alun.

Tidak hairanlah hasil karyanya itu turut menarik minat pihak luar seperti Jepun, Perancis, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Singapura membelinya sebagai koleksi peribadi mahupun muzium di negara mereka.

Raja Shahriman berkata, dia sanggup melepaskan jawatan sebagai pensyarah di Malaysian Institute of Art (MIA) pada 1994 semata-mata mahu berkecimpung dalam dunia pembuatan arca besi.

“Sejak kecil lagi saya gemar mengumpul koleksi besi terutama senjata atau keris.

“Kebetulan semasa belajar dalam jurusan seni halus di Institut Teknologi MARA (kini UiTM), Shah Alam, Selangor saya mendapat pendedahan seni arca dalam pembuatan besi.

“Saya kemudian belajar pula teknik seni pertukangan dan penempaan keris daripada seorang guru di Kuala Kangsar selama tiga tahun sebelum saya membuat keputusan mengembangkan minat dan bakat yang ada,” katanya.


RAJA Shahriman menempa besi. FOTO NSTP

Katanya, rahsia keunikan hasil kerjanya ialah penggunaan teknik penempaan keris yang diaplikasikan dalam pembuatan seni arca.

“Besi ini memang sifatnya keras tetapi ia bahan paling mudah dibentuk, dilentur atau dilembutkan apabila kita tahu teknik mengendalikannya.

“Jadi saya menggunakan teknik tempa 100 peratus buatan tangan seperti mana teknik digunapakai dalam pembuatan keris atau senjata tradisional.

“Teknik ini jarang digunakan kerana kebanyakan pembuatan arca termasuk di luar negara seperti Eropah dan China hanya menggunakan acuan,” katanya.

Pemilik Asia Pasific Golden Award 1999 itu berkata, dia banyak menghasilkan arca besi berkaitan senjata dan tubuh badan manusia dengan menggunakan tema kehidupan dan pergolakan dunia sebagai inspirasi karyanya.


RAJA Shahriman juga aktif berkongsi ilmu dan pengalaman kepada mereka yang berminat dengan arca besi. FOTO NSTP

“Tempoh membuat satu arca memakan masa antara dua hingga tiga bulan setengah. Uniknya setiap arca yang dibuat hanya eksklusif untuk seorang pemilik saja.

“Sebab itu nilainya boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM300,000 setiap satu mengikut saiz dan keunikan reka bentuk arca itu.

“Malah, nilainya akan meningkat berkali ganda apatah lagi apabila perekanya sudah tiada,” katanya yang melantik Galeri Seni Pelita Hati untuk urusan tempahan dan pameran.

Katanya, selain menjadi pembuat arca besi sepenuh masa, dia juga aktif berkongsi ilmu dan pengalaman kepada mereka yang berminat selain dijemput mewakili Malaysia ke pameran luar negara.

“Sebenarnya masyarakat Melayu memang terkenal kehebatan mereka dalam olahan dan penempaan besi terutama senjata kerana sejak tahun 1300 lagi keris sudah ada ditempa dengan begitu seni sekali.

“Tetapi sekarang, seolah-olah kita hanya mampu mengagumi kemahiran orang zaman dahulu kerana ilmunya sudah semakin hilang dalam masyarakat kita.

“Sebab itu, apabila ada graduan datang ke rumah saya untuk belajar ilmu ini saya tidak mengenakan bayaran kerana anggap ini satu cara memelihara seni ini dan amal jariah,” katanya.


RAJA Shahriman bersama karyanya. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 8:30 AM