RAKAMAN kamera litar keselamatan tertutup menunjukkan Rajab membawa mayat dalam beg biru (dibulatkan) atas skuternya. - FOTO/Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang guru tuisyen dan suaminya ditahan kerana membunuh muridnya berusia 14 tahun yang mayatnya ditemui disumbat dalam beg di sebuah taman, pagi Ahad lalu.

Remaja perempuan itu dilaporkan hilang sejak 22 Oktober lalu selepas meninggalkan rumahnya untuk menghadiri kelas tuisyen. Susulan itu, suami guru tuisyennya berusia 34 tahun ditahan Selasa lalu untuk siasatan, lapor The Hindu.

Jurucakap polis Atul Kumar Thakur berkata, remaja itu menghadiri kelas bahasa Urdu di kediaman guru berusia 32 tahun berkenaan, selain turut membantu melakukan kerja rumah.

Bapa remaja itu berkata: “Guru itu berpindah ke situ tiga bulan lalu. Anak saya tidak dapat memasuki sekolah berhampiran jadi kami menghantarnya ke wanita terbabit untuk belajar.

“Saya bertanya guru berkenaan di mana anak saya selepas dia hilang, namun dia menjawab kelas dibatalkan kerana dia berada di hospital pagi itu.”

Sementara itu, Hindustan Times melaporkan, suami guru terbabit dikenali sebagai Rajab memberitahu polis, dia mengarahkan budak terbabit mencuci bahagian atas almari, namun ada objek terjatuh atas kepalanya menyebabkannya menangis.

Dia mendakwa isterinya tidur ketika itu lalu dia memukul gadis berkenaan untuk mendiamkannya. Malangnya, remaja itu pengsan dan tidak dapat dipulihkan.

Pasangan itu panik lalu mengunci mangsa di dalam rumah untuk memikirkan penyelesaian. Keadaan semakin genting apabila bapa remaja berkenaan datang mencarinya dan mereka berbohong kepadanya.

Apabila mendapat tahu bapa berkenaan membuat laporan polis, mereka memberi gadis itu dadah dan menyumbatnya dalam beg yang dibawa Rajab ke sebuah kediaman di Jafrabad pada tengah malam sama.

Polis yang mengesyaki sesuatu menyerbu kediaman pasangan itu, namun tidak menemui apa-apa. Pada masa sama, Rajab berterusan pergi ke tempat mangsa disembunyikan dan terus memberinya dadah, lapor Times of India.

Pasangan itu memutuskan membunuh remaja terbabit selepas polis meningkatkan siasatan dengan mencekiknya menggunakan sapu tangan Rajab sebelum menyumbat mayat mangsa ke dalam beg sama dan membawanya menaiki skuter untuk dibuang di taman berkenaan.

Rajab ditangkap selepas rakaman kamera litar keselamatan tertutup merakamnya menaiki skuter untuk membuang mayat berkenaan.

Rajab pernah ditahan pada 2005 kerana disyaki membunuh ibu tirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 7:08 AM