JOSIAH Hogan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Pasti ramai menganggap pelakon kacukan Amerika Latin, Josiah Hogan memiliki laluan mudah dalam bidang seni bersandarkan wajah kacaknya itu.

Hakikatnya, pemilik nama sebenar Josiah Padilla Hogan atau atau nama Islamnya, Mohamad Musleh, 32, ini bekerja keras menggilap bakat untuk menempa nama dalam bidang lakonan sejak lapan tahun lalu.

“Bukan sekali dua nama ditolak stesen TV popular untuk watak hero tapi banyak kali dengan alasan mereka memilih pelakon baru yang memiliki ramai pengikut di Instagram kerana dikatakan menjadi trend ketika ini.

“Siapa yang tidak kecewa apabila nama sering ditolak, tetapi saya tidak pernah berhenti berharap kerana percaya masa saya akan sampai juga nanti,” katanya.

Walaupun namanya kurang menyerlah berbanding pelakon popular sedia ada, Josiah tetap bersyukur kerana tawaran berlakon tetap ada hingga sekarang.

“Saya bermula dari bawah dengan melakonkan watak pelakon tambahan yang ada enam babak dalam drama Natrah, lapan tahun lalu.

“Watak saya sebagai wartawan Mat Salleh dalam drama berkenaan kerana dialog dalam bahasa Inggeris ketika itu. Mungkin kerana wajah kacukan, saya sering ditawarkan watak sama dalam drama pada pembabitan awal dalam lakonan dulu.

“Kini, saya terpaksa menolak tawaran watak sebagai lelaki Inggeris kerana mahukan kelainan dalam lakonan,” katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Josiah juga tidak kisah untuk menghadiri uji bakat sebelum ditawarkan sesuatu watak dalam drama dan filem.

“Bagi saya sesi uji bakat itu penting untuk kita memahami sesuatu watak itu. Contohnya, saya juga menghadiri uji bakat sebelum ditawarkan watak David dalam drama bersiri Salon arahan Kabir Bhatia dan platfom Viu.

“Watak David juga menarik kerana orang tidak tahu sama ada dia jahat atau sebaliknya kerana dia juga mangsa keadaan.

“Selain itu, saya juga menyukai watak lelaki yang duduk di wad gila dalam drama bersiri 13 episod What If arahan Jehan Miskin yang pernah ditayangkan di saluran ntv7 pada 2013.

“Saya berharap ada lagi tawaran untuk watak sedemikian selepas ini,” katanya .

Ditanya watak diimpikan pula, kata Josiah, dia menanti watak yang lebih mencabar selepas ini.

“Saya sudah melakonkan pelbagai watak termasuk hero, jahat dan sebagainya. Namun, saya menanti watak seperti penyiasat pula selepas ini. Antaranya, watak seperti siri popular Sherlock Holmes dan Angel & Demons,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Josiah juga sibuk menyelesaikan baki penggambaran drama bersiri terbarunya Mimpi Sabrina bergandingan dengan Juliana Evans untuk Slot Samarinda di TV3 nanti.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah 30 Juzuk Cinta dan Tasbih Rindu untuk saluran RTM.


JOSIAH Hogan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Tunggu tayangan dua filem di pawagam

Dalam perkembangan lain, Josiah masih menanti tarikh tayangan dua filem lakonannya iaitu KL Vampires dan Antara Masa yang masih tertangguh hingga hari ini.

Menurut Josiah, filem lakonannya Antara Masa yang juga genre sains fiksyen bersama penyanyi dan pelakon Kaka Azraff sudah siap pada 2014.

“Saya sanggup memotong rambut pendek untuk melakonkan watak saintis dalam filem itu. Saya difahamkan penerbit terpaksa menunda tayangannya sampai sekarang kerana tidak puas hati babak kesan khas dalam filem itu.

“Sebagai pelakon utama pastinya saya bimbang filem ini disimpan kerana pastinya mahu karya dilakonkan ditayangkan pada umum.

“Soal cepat atau lambat tidak penting asalkan filem itu mendapat sambutan ramai apabila ditayangkan di pawagam nanti,” katanya.

Bercerita mengenai filem KL Vampire, Josiah berkata, filem lakonannya bersama Raja Ilya juga menerima nasib sama ditunda tayangannya sampai hari ini.

“KL Vampire juga sudah siap sejak 2016 tetap disimpan kerana ada masalah babak kesan khas. Bagaimanapun, saya melihat apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Saya juga serahkan kepada produser kerana percaya mereka juga lebih arif tarikh tayangan yang lebih sesuai untuk menayangkan filem terbitan mereka di pawagam nanti,” katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Penanggal, Surf This Love , KL Special Force, Manisnya Cinta di Cappadoccia dan Luqman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 7:01 AM