SANJNA juga pemegang ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS). FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BERGELAR ratu cantik dan mewakili negara menjadi kelebihan buat Sanjna Suri, 26, menceburi bidang lakonan.

Sanjna yang juga pemegang ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) berkata, dia sangat bertuah kerana bakatnya mula digilap pengarah terkenal Khabir Batia menerusi filem Sangkar yang bakal ditayangkan tahun depan.

“Saya sangat meminati bidang seni dan mahu mencuba nasib berlakon drama dan filem Melayu. Mungkin kerana saya menuntut di sekolah kebangsaan dan fasih berbahasa Melayu.

“Oleh itu, selepas berjaya menguruskan badan dan memenangi pertandingan ratu cantik, saya nekad mencuba nasib sebagai pelakon.

“Saya bertuah apabila Kabir menawarkan berlakon dalam filem Sangkar menerusi sesi uji bakat diadakan sebelum ini,” katanya.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini berkata, dia menimba pengalaman berharga ketika penggambaran filem berkenaan yang diterajui Zul Ariffin dan Remy Ishak itu.

“Saya pernah berlakon dalam filem Tamil tetapi dalam filem itu saya bertutur dalam bahasa Inggeris. Sangkar adalah filem Melayu pertama lakonan saya sekali gus memperkenalkan saya kepada peminat filem Melayu.

“Saya melakonkan watak Priya yang juga teman wanita kepada Zul dalam filem itu. Sebagai Priya, ia memerlukan saya banyak bermain dengan ekspresi wajah. Menurut Kabir, saya nampak bagus dalam kamera,” katanya.

Ditanya pengalaman bekerja dengan Zul pula, kata Sanjna, pelakon terkenal itu banyak memberi semangat dan ilmu lakonan kepadanya.

“Kali pertama bertemu Zul ialah ketika majlis pertunjukan fesyen tidak lama dulu. Saya selesa bekerja dengannya kerana dia turut membantu saya untuk tidak kekok melakonkan watak Priya yang juga teman wanitanya dalam filem itu.

“Walaupun ia filem Melayu pertama, saya dapat belajar aspek keseluruhan dalam pembikinan filem itu,” katanya.

Selepas Sangkar, Sanjna diberi kepercayaan oleh Kabir untuk berlakon dalam drama bersiri Salon yang kini bersiaran di saluran ntv7 dan platform Viu.

“Saya melakonkan watak kembar iaitu Bella dan Belinda yang juga watak antagonis dalam drama bersiri itu. Saya sangat teruja berlakon dalam Salon dan berharap lakonan diterima penonton tempatan,” katanya.

Mengenai watak pula, kata Sanjna, dia tidak kisah ditawarkan apa saja watak dalam drama atau filem sekali gus menggilap bakat dalam bidang lakonan.

Sebagai pelakon berdarah kacukan, saya mahu mencuba watak yang ada kelainan seperti gadis kampung atau bertudung untuk membuktikan kemampuan dalam lakonan.

“Saya juga mahu menjadi anak seni yang berjaya dan bukan sekadar bersandarkan pada paras rupa semata-mata.

“Saya juga serius menceburi bidang lakonan dan berhasrat mengikuti kelas lakonan bagi memantapkan prestasi lakonan sedia ada.

“Pada masa sama, saya berharap kehadiran saya diterima peminat Melayu untuk sama-sama mewarnai bidang seni tanah air,” katanya.


PELAKON Filem Sangkar, Sanjana Suri.

Bawa nama negara

Nama Sanjna tidak asing dalam pertandingan ratu cantik sebelum ini. Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah Miss Malaysian Indian Global dan Miss Skuba.

Terbaru, Sanjna akan menyertai pertandingan Miss Supranational 2018 yang akan berlangsung di Warsaw, Poland pada Disember depan.

“Buat masa ini, saya giat membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal.

“Saya juga akan berusaha memberikan yang terbaik pada pertandingan itu kerana turut membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Sanjna, dia masih mencari penaja bagi mengumpul dana mencecah RM100,000 khusus untuk pertandingan ratu cantik yang turut disertai lebih 80 peserta dari 140 negara di seluruh dunia.

“Saya berharap ada penaja korporat yang sudi membantu merealisasikan impian untuk membawa nama negara ke sana.

“Saya juga akan ke Poland pertengahan bulan ini dan berada di sana selama tiga minggu. Selain itu, saya berharap, pertandingan ini turut ditayangkan secara langsung di televisyen di Malaysia nanti,” katanya.

Pada pertandingan itu, Sanjna bakal memperagakan busana rekaan pereka terkenal tempatan Anuar Faizal dan barangan kemas Amee Philips berharga RM1.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:56 AM