AFP

SEMUA 189 penumpang dan kru pesawat Lion Air yang terhempas hari ini berkemungkinan terbunuh dalam nahas itu, kata agensi mencari dan menyelamat, ketika mengumumkan ia menemui cebisan mayat.

Pesawat Boeing-737 MAX, yang diselenggara beberapa bulan lalu, hilang dari radar 13 minit sejurus berlepas dari Jakarta, terhempas di Laut Jawa beberapa minit selepas meminta kebenaran berpatah balik ke Jakarta.

Laman web yang memaparkan data penerbangan menunjukkan ia meningkatkan kelajuan ketika tiba-tiba hilang ketinggian beberapa minit sebelum hilang.

“Jangkaan saya tiada siapa yang selamat kerana mangsa yang kami temui, mayat mereka berkecai dan sudah beberapa jam, jadi berkemungkinan besar semua 189 orang dalam pesawat itu meninggal dunia,” kata pengarah operasi agensi mencari dan menyelamat, Bambang Suryo Aji.

Kira-kira 40 penyelam ialah sebahagian daripada 150 kakitangan di lokasi, kata pihak berkuasa, dengan pesawat itu tenggelam sehingga 30 atau 40 meter dalam.

Terdahulu, video yang merakamkan lokasi nahas menunjukkan kesan tumpahan minyak di permukaan laut dan gambar menunjukkan apa yang kelihatan gelungsur kecemasan dan serpihan bangkai menunjukkan logo Lion Air.

Syarikat penerbangan mengaku jet itu sebelum ini pernah menjalani kerja pembaikan yang tidak dinyatakan.

Pesawat itu dalam penerbangan ke Pangkal Pinang, persinggahan untuk pelancong yang mahu ke Belitung, apabila ia terputus hubungan kira-kira 6.30 pagi waktu tempatan.

Masih belum diketahui sama ada warga asing berada dalam kapal terbang itu.

Imej yang dirakam di lapangan terbang utama Pangkal Pinang menunjukkan keluarga penumpang menangis dan berpelukan sesama sendiri, dengan sebahagiannya menjerit: “Oh Tuhan.”

“Pagi ini, dia menghubungi bertanya mengenai anak lelaki bongsu kami,” kata Ermayati, merujuk kepada suaminya, Muhammad Syafii, 45, yang berada dalam pesawat itu.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC), berkata penumpang pesawat itu ialah 178 dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi, dua juruterbang dan enam kru kabin.

Kementerian Pengangkutan, pada awalnya berkata jumlah penumpang dan anak kapal adalah 188.

Kementerian Kewangan berkata, kira-kira 20 kakitangannya berada dalam kapal terbang berkenaan.

Sebahagian daripada mereka ialah rakan kepada Sony Setiawan, yang sepatutnya turut menaiki pesawat itu tetapi terlepas disebabkan kesesakan lalu lintas.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 7:43 PM
Helikopter menuju ke kawasan nahas. FOTO Reuters