Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@nstp.com.my


LELAKI warga Libya didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini atas pertuduhan membunuh kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) di Shaftsbury Square, Cyberjaya pada pertengahan bulan ini.

Tertuduh Ahmed Abdullah Ali, 24, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju lokap polis dan dilihat hanya mendiamkan diri dan tunduk sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmed didakwa menyebabkan kematian Wan Amirah Wan Alias, 31, di Shaftsbury Square, Cyberjaya jam 7.35 malam pada 17 Oktober lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff dan Nur Siti Fairuz Roslan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Sepang, Ahmed mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic-acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang jam 6.10 pagi, pada 19 Oktober lalu.

Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda.

Selain itu, dia turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang penuntut kolej, Basel Giumala A El Maarfi, 20, warga Libya, dengan menggunakan sebilah pisau panjang di Hyve Soho Suite, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya jam 4.45 pagi, pada 30 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat atau denda.

Timbalan Pendakwa Raya S Abirami tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mangsa dalam kes itu mengalami cedera parah dan tertuduh adalah warga asing dan dikhuatiri melarikan diri.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Dinesh Muthal, memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan bakal menduduki peperiksaan akhir.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Berita berkaitan

Direman bagi kes merusuh pula

Suspek kes langgar lari dilepas daripada reman [METROTV]

'Dah jadi kes bunuh [METROTV]'

'Suspek langgar lari direman [METROTV]'

'[UPDATE] Tiga lelaki, wanita ditahan'

[UPDATE] 'Tolong cari suspek langgar lari Wan Amirah'

'Mangsa langgar lari meninggal dunia'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 1:48 PM
ANGGOTA polis mengiringi Ahmed (tengah) yang berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor