VICHAI Srivaddhanaprabha. Foto Arkib REUTERS

JUTAWAN pemilik Leicester City Vichai Srivaddhanaprabha disahkan antara lima mangsa terbunuh dalam nahas helikopter di tempat letak kereta bersebelahan Stadium King Power sejurus berlepas, semalam.

Sejumlah besar peminat yang menjangkakan berita buruk itu meletakkan kalungan bunga, selendang bola dan melakukan upacara sembahyang mengikut agama Buddha di luar perkarangan stadium berkenaan.

Ia sebagai memperingati mendiang yang bertanggungjawab untuk kemenangan kelab terbabit dalam kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2016.

“Dunia kehilangan seorang lelaki yang sangat hebat,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Leicester City adalah satu keluarga di bawah kepimpinan beliau. Sebagai sebuah keluarga, kami akan meratapi pemergian mendiang dan meneruskan wawasan kelab yang kini adalah legasi ditinggalkan mendiang,” kata kelab itu lagi.

Buku ucapan takziah akan diletakkan di stadium berkenaan bermula esok dan pasukan itu turut menangguhkan perlawanan menentang Southampton.

“Semua orang dalam kelab ini amat terharu dengan reaksi keluarga besar sukan bola sepak dan sokongan serta solidariti yang mereka berikan sangat dihargai pada waktu sukar ini,” kata kenyataan itu.


PEMINAT Leicester City memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Vichai yang terbabit dalam nahas helikopter. Foto REUTERS

Polis menamakan empat mangsa lain sebagai Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare iaitu dua petugas Vichai, juruterbang Eric Swaffer dan penumpang Izabela Roza Lechowicz.

Vichai, 60, pemilik empayar bebas cukai King Power di Thailand sering kelihatan setiap kali perlawanan diadakan dan sering berulang-alik dari negara asalnya untuk menyaksikan kelabnya bermain

Beliau dan empat penumpang lain menaiki pesawat berwara biru itu dan berlepas dari tengah padang sejurus stadium itu kosong usai perlawanan dengan West Ham yang berkesudahan dengan seri 1-1.

Saksi berkata, helikopter itu dilihat seolah-olah mengalami masalah teknikal di kipas belakang sejurus berlepas.

Foto menunjukkan bangkai pesawai terbabit dijilat api di tempat meletak kereta stadium itu yang menjadi lokasi sambutan bagi meraikan kejayaan Leicester City menjuarai Liga Premier dua tahun lalu. - AFP

Berita berkaitan

[UPDATE] Vichai, anak perempuan dalam helikopter...?

[UPDATE] King Power enggan ulas

Helikopter pemilik 'The Foxes' terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 9:27 AM