LEBIH 15,000 hadir bagi menyaksikan persembahan udara yang berlangsung di Pangkalan Udara Kuching sempena Hari Terbuka TUDM walaupun terpaksa menapak satu kilometer.
Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@nstp.com.my


KUCHING: Persembahan Pasukan Khas Udara (PASKAU) melakukan demonstrasi teknik fast-roping diikuti letupan pyrotechnic dan pertunjukan terbang lintas pesawat A400M, F/A-18D Hornet serta Hawk mengisi minyak di ruang udara memukau pengunjung yang menghadiri Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuching, di sini, kelmarin.

Hari Terbuka TUDM itu mendapat sambutan hangat sehingga menyebabkan kesesakan sepanjang tiga kilometer dari lokasi penganjuran apabila orang ramai berpusu-pusu menuju ke pangkalan berkenaan.

Dianggarkan, lebih 15,000 pengunjung hadir ke program itu sejak pangkalan berkenaan dibuka kepada orang ramai bermula jam 8 pagi walaupun majoriti terpaksa meletakkan kenderaan hampir satu kilometer dari lokasi.

Ia adalah persembahan kedua tahun ini selepas berlangsung di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, bulan lalu sempena ulang tahun TUDM ke-60.

Orang ramai disajikan dengan deruman enjin pesawat TUDM yang melakukan pelbagai aksi dan formasi menarik dikendalikan juruterbang TUDM.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyempurnakan perasmian Hari Terbuka TUDM itu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sempena pameran sehari iaitu pameran statik pesawat TUDM membabitkan helikopter Nuri, helikopter EC 725, pesawat A400M, pesawat C130H dan Hawk 108/208.

Turut mencuri tumpuan adalah pertunjukan udara membabitkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM dengan Sukhoi memperagakan keupayaannya berhenti secara mengejut yang menjadi ciri penting pesawat buatan Russia itu cukup digeruni musuh.

Sementara itu, dalam sidang medianya Affendi berkata, TUDM meletakkan harapan tinggi memperhebat perolehan aset pertahanan udara lebih canggih untuk memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Katanya, sayap ketenteraan itu kini berdepan kekurangan peruntukan sehingga mengakibatkan perancangan mendapatkan aset menjadi cabaran besar.

“Insya-Allah, dengan adanya peruntukan lebih sedikit berbanding tahun lalu kita mampu meningkatkan perolehan aset pertahanan udara,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran Hari Terbuka TUDM, beliau berkata, bukan mudah bagi pihaknya menganjurkan program berkenaan di Kuching berikutan kedudukan pangkalan bersebelahan dengan landasan kapal terbang komersial milik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Seperti yang anda sendiri saksikan, kita kena berkompromi dengan pihak kawalan lalu lintas udara bagi mendapatkan slot pertunjukan udara menggunakan aset TUDM untuk disaksikan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:40 AM