SUBKHIDDIN (kiri) dan Suresh (kanan). FOTO arkib NSTP
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


JAWATANKUASA Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan pilihan mereka apabila melantik Suresh Jayaraman selaku pengadil final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak di Stadium Shah Alam, semalam.

Meskipun timbul kontroversi yang dicetuskan pengadil berusia 30 tahun itu, namun Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menegaskan dia bertanggungjawab sepenuhnya atas pemilihan Suresh untuk mengendalikan perlawanan ‘panas’ itu.

“Pada pendapat saya, dia mempunyai kemampuan untuk mengendalikan cabaran dari kedua-dua pasukan. Kemampuan ini sudah ditunjukkan dalam beberapa perlawanan sebelumnya.

“Pilihan lebih kepada Suresh selepas saya mendapati dia memberikan komitmen yang tinggi dan mempunyai sikap untuk bersaing secara sihat untuk memajukan dirinya.

“Ini adalah sekian lama selepas beberapa tahun kita tidak mempunyai keterampilan seseorang pengadil berbangsa India di pentas final.

“Selain daripada pengalaman dua tahun di Liga Super, dia terlebih dahulu berada dalam Liga Perdana dan mereka adalah sebahagian dari pengadil Liga Malaysia (Liga M). Jadi beliau sudah ada pengalaman secukupnya untuk mengendalikan perlawanan akhir,” katanya ketika dihubungi dari Auckland, New Zealand.

Terdahulu, mutu pengadilan Suresh pada aksi final antara Terengganu FC (TFC) dan Perak di Stadium Shah Alam malam tadi mencetuskan pertikaian banyak pihak susulan beberapa keputusan kontroversi yang dilakukannya sepanjang mengadili perlawanan itu.

Antaranya Suresh membatalkan jaringan penyamaan pemain tengah Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-32 selepas dikatakan mengasari penjaga gol TFC, Mohd Suffian Rahman selain membatalkan jaringan Gilmar da Silva pada babak kedua kerana dikatakan sudah berada dalam keadaan ofsaid.

Malah, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membidas pengadil berkenaan dan menyifatkan mutu pengadilan pada aksi terbabit teruk.

“Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk. Saya tidak pernah melihat dia dan saya terkejut mengapa dia dipilih untuk final,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya. 

 Berita berkaitan:

  • 'Suresh calon terbaik'
  • 'Mereka tiada semangat kesukanan' - PFAM
  • 'Hilang' Tchetche, penyudah jadi tumpul
  • Teruja lihat Piala Malaysia di Ipoh [METROTV]
  • Durakovic rai kejayaan bersama ahli keluarga
  • 'Tuah kaki kiri' Brendan
  • 'Kami sudah maafkan pengadil...' [METROTV]
  • 'Mujur jantung saya kuat' [METROTV]
  • Derita 19 tahun Irfan berpanjangan [METROTV]
  • Pengadil tiada dalam semakan web FIFA?
  • 18 tahun Yob tunggu!
  • Aduhai pengadil...
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 7:25 PM