IBU bapa mengambil anak masing-masing kerana mereka tidak benarkan berada di persekitaran kawasan sekolah.
Asmah Rusman
cnews@nstp.com.my


Gombak: Penyakit beguk yang ‘menyerang’ sebahagian pelajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak dua minggu lalu tidak mengganggu persediaan pelajar sekolah itu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 13 November hadapan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Malek Amir Azmin Abdul Aziz berkata, pihak sekolah khususnya guru sudah bersedia dengan ‘Plan B’ bagi memastikan keyakinan dan semangat pelajar berterusan untuk mengambil peperiksaan.

“Kami anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT dan sesuatu yang di luar jangkaan. Memang agak terkilan kerana guru dan PIBG sudah bersedia dengan pelbagai program pecutan akhir untuk mereka tetapi kita percaya mereka mampu menghadapinya.

“Meskipun mereka balik dan belajar di rumah guru mata pelajaran berkenaan sudah membekalkan bahan bantuan mengulangkaji di rumah,” katanya.

Menurutnya, pihak pentadbiran dan ibu bapa akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meminta premis berkenaan ditutup susulan penyakit beguk.

Katanya, pihak sekolah sudah memaklumkan kepada ibu bapa dan mewajibkan mereka mengambil anak masing-masing di asrama bermula petang kelmarin.

“Hari ini (semalam) semua pelajar diwajibkan pulang ke rumah dan perlu mengosongkan bangunan sekolah serta asrama yang akan ditutup bermula esok (hari ini).

“Semua pelajar baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir tahun dan hanya tinggal pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki SPM,” katanya.

Katanya, sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai YDP PIBG di sekolah berkenaan, itu kejadian pertama membabitkan serangan wabak penyakit dalam kalangan pelajar.

Tinjauan wartawan di SBPI Gombak semalam mendapati pelajar sedang mengemas barangan peribadi masing-masing dan menunggu ketibaan ibu bapa mereka.

Pengawal keselamatan yang bertugas juga memaklumkan pihak sekolah tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan sekolah sebagai langkah keselamatan.

Wartawan dimaklumkan hanya ibu bapa pelajar yang dibenarkan masuk untuk menjemput anak mereka dan perlu mendaftar di pondok pengawal.

Seorang ibu kepada pelajar tingkatan dua SBPI Gombak yang enggan dikenali berkata, anaknya dijangkiti beguk dua minggu lalu dan diberikan cuti sakit selain dibenarkan pulang berehat di rumah.

“Alhamdulillah anak saya sudah sihat dan kembali semula ke asrama bagi menduduki peperiksaan akhir tahun.

“Anak saya memberitahu dia hanya tawakal menghadapi peperiksaan itu kerana hendak mengulangkaji memang tidak selesa kerana sakit di bahagian leher dan tekak,” katanya.

Katanya, penyakit itu menyebabkan leher dan muka anaknya bengkak teruk.

Menurutnya, pihak sekolah dan guru ada memaklumkan kepada ibu bapa supaya tidak menularkan kejadian berkenaan kerana bimbang akan merisaukan ibu bapa yang lain.

Kelmarin, Notis Perintah Tutup yang dikeluarkan KKM ke atas dua sekolah berasrama di Selangor berikutan jangkitan penyakit beguk dalam kalangan pelajarnya tersebar di media sosial.

Menurut notis berkenaan sekolah itu ialah Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) di Kajang dan SBPI Gombak yang masing-masing ditutup dua minggu hingga 9 November ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan berkata, seramai 15 murid SBPI Gombak dirujuk ke Klinik Kesihatan Gombak, Selangor pada bulan ini yang membawa kepada tiga kes dan terakhir pada 23 Oktober.

Katanya, tindakan kawalan jangkitan wabak dan pembersihan disinfeksi sudah dibuat (KBK) pada 19 sehingga 21 Oktober 2018 manakala Notis Perintah Tutup Premis dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak pada 24 Oktober sehingga 9 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 7:52 AM