PELAKON, Nur Ashiqin Mohd Kamal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


NAMANYA mula dikenali menerusi filem Lagenda Budak Setan dan Di Larang Masuk pada awal pembabitan dalam bidang lakonan.

Ketika namanya meniti populariti, pelakon Shiqin Kamal berundur seketika untuk menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali gus memenuhi impian arwah ibunya.

Selepas berjaya membawa pulang segulung ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, Shiqin membuat kemunculan semula pada 2014.

Namun, Shikin akur bukan mudah baginya untuk kembali membina nama kerana tawaran berlakon tidak serancak dulu.

Bagi pemilik nama sebenar Nur Ashiqin Mohd Kamal, 27, dia tidak menyesal berhenti berlakon ketika namanya meniti di bibir peminat ketika itu.

“Saya terkilan kerana terpaksa menolak banyak tawaran ketika itu kerana percaya perancangan Allah SWT lebih baik.

“Saya juga bersyukur kerana berjaya memenuhi impian arwah ibu dengan membawa pulang ijazah yang diimpikan ketika hayatnya dulu.

“Pada masa sama, saya sempat menjaga arwah ibu dan berada di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir di hospital pada 2014.

“Arwah ibu menderita penyakit Parkinson selama 20 tahun dan saya serta kakak bergilir menjaganya sebelum ini,” katanya kepada RAP.

Kali terakhir, Shiqin berlakon filem ialah menerusi Warna Cinta Impian yang menemui penonton pada 2016.

“Saya ditawarkan berlakon filem itu pada penghujung 2014 selepas tamat pengajian.

“Dalam filem arahan N S Krishna itu, saya bergandingan dengan Erwin Dawson, Awie dan Erra Fazira.

“Mungkin kurang promosi, filem itu tidak menyerlahkan nama saya,” katanya.

Selain filem itu, Shiqin turut berlakon dalam beberapa drama dan program untuk saluran RTM iaitu Seharum Rindu, Degup Cinta serta program Travelogue Hamparan Alam yang sudah bersiaran di kaca televisyen.

Dikenali dengan watak antagonis

Bukan semua pelakon terutama bakat baru mampu melakonkan watak antagonis dengan baik.

Shiqin akui dia terima tawaran melakonkan watak antagonis untuk mencabar kemampuan diri.

“Pada mulanya, saya risau melakonkan watak antagonis di kaca TV kerana pernah dikecam netizen menerusi drama Cinta Si Wedding Planner.

“Namun, saya sukar menolak kerana majoriti tawaran yang datang adalah untuk bawa watak antagonis,” katanya.

Terbaru, Shiqin diberi kepercayaan menjayakan drama bersiri 100 episod, Jodoh Jodoh Anisa terbitan Global Station.

“Sekali lagi, saya ditawarkan watak antagonis dalam cerita ini.

“Tampil sebagai Rita yang juga kakak ipar watak utama iaitu Anisa lakonan Izara Aisyah, saya dapati ia sangat menaik dan lain daripada yang lain.

“Luaran Rita nampak baik dan dia juga tidak tampil dengan imej seksi seperti watak jahat yang biasa ditonton dalam drama,” katanya.

Shiqin berkata, dia dan barisan pelakon akan berkampung di lokasi penggambaran drama bersiri itu sehingga Mac tahun depan.

“Penggambaran drama ini membabitkan lokasi utama di Melaka.

“Saya memang memberikan sepenuh komitmen untuk menyelesaikan baki penggambaran drama ini.

“Saya juga menaruh harapan cerita ini akan mendapat sambutan dan lakonan memberi impak kepada penonton nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 6:00 AM