AIsyah pada sidang media, hari ini.
Safeek Affendy Razali dan Faris Fuad
cnews@nstp.com.my

WANITA terpaksa melupakan pesanan arwah suaminya yang terkorban ketika berjuang bersama kumpulan militan di Syria demi masa depan dua anaknya.

Dia yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 31, berasal dari Terengganu berkata, suaminya berpesan supaya mereka sekeluarga tidak meninggalkan Syria.

Bagaimanapun, dia tidak dapat menunaikan permintaan itu berikutan hilang arah dan tiada tempat bergantung, selepas kematian suaminya.

Katanya, dia nekad untuk pulang ke halaman kampung bagi melepaskan kerinduan kepada keluarga.

Sebelum ini, dia menetap di Turki selama setahun dan kemudian berhijrah ke Syria selama setahun enam bulan.

“Selepas mengetahui suami meninggal dunia, saya hanya fikir nak pulang ke Malaysia.

“Tiada lagi tempat bergantung, kehidupan harian di sini lain berbanding di Malaysia, sumber air, elektrik dan makanan terhad.

“Saya juga fikir masa depan anak, seorang perempuan dan lelaki, masing-masing berusia lima dan dua tahun.

“Saya menyampaikan kebimbangan itu kepada keluarga di kampung, dan mereka memaklumkan perkara berkenaan kepada Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Alhamdulillah, saya dan dua anak dibawa pulang dengan selamat pada 6 Oktober lalu,” katanya pada sidang media khas Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Aisyah berkata, suaminya memaklumkan membeli tiket penerbangan ke Turki pada Disember 2015, untuk tujuan melancong.

“Suami beli tiket itu awal, kami naik kapal terbang pada Mac 2016.

“Ketika itu, saya mengandung anak kedua, nak masuk tujuh bulan, kami menetap di sebuah hotel selama lima hari dan kemudian berpindah ke rumah sewa.

“Di situ, saya baru tahu suami direkrut kumpulan militan.

Mengulas lanjut, katanya, dia dan suami terpaksa menetap di Turki selama setahun kerana tiada laluan sesuai untuk berhijrah ke Syria.

“Selepas tempoh itu, kami sekeluarga dibantu dua individu untuk ke sempadan Syria menerusi kawasan hutan,” katanya.

Mengimbau pengalamannya ketika berada di Syria, Aisyah menyifatkan dentuman bunyi bom sebagai perkara biasa.

“Saya tidak terbabit dengan aktiviti kumpulan militan itu, cuma pernah lihat orang pasang dan buka senjata.

“Saya menetap di Idlib, Syria, di situ tiada aktiviti kumpulan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 5:39 PM
Skip this ad x