MOHD Siraj memimpin ibunya sambil ditemani Roziatul (kiri) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, semalam.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya tahu, jantung saya boleh berhenti berdegup dan bila-bila masa saja, saya boleh pergi.

“Tapi azam saya untuk tamatkan pengajian dan bergelar ahli farmasi tak pernah luntur,” kata orang kurang upaya (OKU) fizikal, Erb’s Palsy atau urat tangan terputus Mohd Siraj Munir Ikmal Rosle, 22.

Pemuda OKU ini tetap tabah dan mahu terus mencapai cita-cita sebagai ahli fasmasi meskipun disahkan menghidap masalah jantung kronik, Hypertrophic Cardiomyopathy (HCM).

Berkongsi kisah hidupnya Mohd Siraj berkata, dia disahkan menghidap HCM pada 28 September lalu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Meskipun begitu pemuda ini tidak patah semangat dan mahu menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang farmasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berbaki dua semester saja lagi.

“Memang saya risau selepas doktor sahkan saya hidap HCM, sejak itu saya sentiasa berhati-hati. Aktiviti terpaksa dihadkan kerana tidak mahu badan menjadi terlalu penat.

“Jantung boleh berhenti berdegup bila-bila masa saja hingga menyebabkan kematian mengejut. Mati itu pasti dan cita-cita perlu saya kejar.

“Hasrat saya mahu jadi orang hebat, jadi dugaan yang diterima juga perlu hebat,” katanya ketika ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, semalam.

Mohd Siraj berkata, dia cuba melupakan kesakitan dan masalah kesihatan yang dialami dengan melakukan aktiviti yang diminati.

“Sebolehnya saya tidak mahu penyakit ini mengganggu impian untuk bergelar ahli farmasi. Bila menghadiri kuliah secara tidak langsung ia membantu saya melupakan keperitan dialami.

“Selangkah lagi saya akan mencapai cita-cita. Sebab itu, saya terus menjadi positif dan cabaran ini adalah ganjaran pada diri.

“Sebagai manusia saya saya percaya, Tuhan bukan saja-saja memberi kita dugaan tetapi ada hikmah di sebalik semua itu,” katanya.

Menurutnya, bagi mengurangkan risiko jantungnya berhenti berdegup secara tiba-tiba dia perlu menjalani pembedahan untuk memasang alat Implanted Converter Defribillator (ICD) membabitkan kos RM50,000.

Katanya, pembedahan itu perlu dilakukan selewat-lewatnya 15 November depan namun terpaksa ditangguhkan berikutan keluarganya tidak berkemampuan.

“Sampai sekarang wang untuk tampung kos perubatan saya belum cukup, keluarga saya memang tak mampu. Ibu menghidap masalah buah pinggang kronik, dia tak bekerja dan terpaksa mengharapkan kakak,” katanya.

Katanya, pengorbanan ibu, Jamilah Yahya, 48, yang membesarkannya dengan kakak, Roziatul Syatilla, 26, menjadi motivasi untuknya meneruskan kehidupan.

“Bapa saya meninggal dunia pada 2004 akibat serangan jantung, jadi sama bimbang perkara sama akan menimpa saya selepas ini,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Roziatul Syatilla Rosle (152189228312) atau Bank Islam (02114020049674).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:46 AM