GUA Niah terus menjadi perhatian dan perdebatan pakar arkeologi dunia.
Melvin Joni
cnews@nstp.com.my


KUCHING: Lebih banyak misteri arkeologi Gua Niah di wilayah utara negeri ini bakal dibongkar melalui ekspedisi saintifik diketuai pakar arkeologi dunia, Profesor Madya Dr Darren Curnoe, tahun depan.

Dr Curnoe yang juga tenaga akademik di Universiti New South Wales, Australia berkata, ekspedisi dijadualkan pada suku pertama tahun depan itu dijangka bertumpu di Gua Dagang, sebahagian rangkaian sistem Gua Niah.

Beliau berkata, pasukan yang bakal disertai 15 penyelidik itu tertumpu mengumpul bukti mengenai kewujudan manusia prasejarah yang pernah mendiami kawasan terbabit.

“Bukti jelas kewujudan manusia prasejarah pernah mendiami kawasan itu terutama di lokasi berhampiran West Mouth, Gua Niah yang menjadi tumpuan pengkaji arkeologi dari seluruh dunia.

“Justeru, kita perlu melakukan ekspedisi dan kajian susulan bagi mendapatkan bukti lanjut termasuk artifak berkaitan kemungkinan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah bertajuk Sejarah Gua Niah: Gua Dagang & Manusia 65,000 Tahun di Muzium Sarawak di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Dr Curnoe berkata, wujud perdebatan dalam kalangan komuniti arkeologi antarabangsa mengenai manusia moden yang paling awal tiba di Asia Tenggara adalah dari Afrika.

“Ia topik hangat dibincangkan komuniti arkeologi dunia ketika ini. Gua Niah menyediakan maklumat baharu mengenainya malah Gua Dagang memberitahu kita manusia berkenaan dari Afrika kira-kira 65,000 tahun lalu.

“Kami mendapat sokongan yang sangat baik daripada orang pertama menetap di kawasan itu terutama masyarakat orang Dayak yang begitu kaya dan canggih budaya mereka dalam kajian ini,” katanya.

Dr Curnoe berkata, pasukannya juga akan menarik penyertaan pelajar universiti tempatan, selain bekerjasama dengan Jabatan Muzium, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam ekspedisi itu.

“Kami sangat berminat bekerjasama dengan orang tempatan. Ia secara tidak langsung memberi latihan kepada generasi arkeologi Malaysia untuk menjadi pakar arkeologi antarabangsa terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:57 AM