DR Zubaidah menunjukkan jenis lalat hitam di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai potensi besar sebagai hab rujukan dunia dalam bidang kajian spesies lalat hitam atau nama saintifiknya simulium.

Serangga vektor itu menjadi igauan penduduk dunia terutama di benua Afrika berikutan penyakit disebarkan bukan saja menjejaskan kesihatan, malah boleh membawa maut.

Berikutan itu lalat hitam yang menyebarkan wabak ochocerciasis sekitar 1970-an menjadi buruan penyelidik dunia berikutan mengakibatkan 500,000 mangsa di 27 negara Afrika buta seumur hidup.

Pakar taksonomi lalat hitam dunia khususnya Asia Timur, Prof Emeritus Dr Hiroyuki Takaoka mengesahkan, dari 2,335 spesies lalat hitam ditemui di seluruh dunia penyelidik Malaysia menyumbang jumlah tertinggi kepada angka berkenaan.

“Penyelidik Malaysia iaitu satu-satunya pasukan kami di Universiti Malaya (UM) berjaya menyumbang kepakaran dalam menghuraikan 460 spesies lalat hitam dari jumlah berkenaan.

“Pasukan kami bukan menjadi rujukan penyelidik luar negara yang menghantar sampel bagi pengecaman spesies ditemui mereka.

“Kejayaan dicapai menyebabkan ada berminat mempelajari proses menghuraikan spesies baru serta teknik lukisan saintifik yang kami amalkan kerana ia diterima pakai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dr Hiroyuki berkata, selain itu kumpulan penyelidik tempatan menyahut cabaran untuk melakukan penyelidikan sekitar sungai Sumatera, Indonesia dan Vietnam yang belum diteroka.

Menurutnya, beliau antara ahli kumpulan penyelidik pertama dihantar ke Guatemala untuk mencari punca menyebabkan penduduk negara berkenaan menjadi buta sebelum mendapati ia disebabkan lalat hitam.

“Secara amnya lalat ini menjadi vektor kepada cacing filaria bernama onchocerca spp yang menyerang manusia dengan menghisap darah dan memindahkan anak cacing kepada manusia dan haiwan lain.

“Bahayanya anak cacing filaria itu bukan saja menyebabkan kegatalan seluruh badan dan kerosakan pada kulit malah sifatnya yang hidup di antara lapisan kulit ini mampu bergerak ke seluruh badan hingga organ penting lain seperti mata dan boleh mengakibatkan buta,” katanya.


DR Zubaidah memberi penerangan kepada penyelidik lalat hitam dari universiti di Kalimantan, Indonesia.

Katanya, setakat ini serangan cacing berkenaan pernah dikesan di Afrika, Yaman, Guatemala dan Jepun.

“Sekurang-kurangnya 1.5 peratus dari 2,335 spesies lalat hitam yang ditemui di seluruh dunia itu adalah penghisap darah dan boleh menyebarkan penyakit kepada manusia dan haiwan.

“Ini termasuk empat spesies dikenal pasti sebagai pembawa wabak onchocerciacis di Afrika, satu di Jepun dan tiga di Thailand yang berpotensi menjadi vektor.

“Di Jepun, ia menyerang ternakan dan manusia namun mujur tidak melarat menyebabkan mangsa buta kerana induk cacing berkenaan cepat dikeluarkan dari badan mahupun haiwan yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, pakar taksonomi lalat hitam pertama Malaysia, Dr Zubaidah Ya’cob berkata, pasukan penyelidikannya yang diketuai Takaoka berjaya menemui 62 spesies lalat hitam di Malaysia sejak 2010.

“Permulaan kami memang mencabar kerana Malaysia belum ada sebarang rekod mengenai biodiversiti lalat hitam ini, jadi sejak 2010 kami mulakan penjelajahan besar-besaran dari Perlis hingga Johor.

“Kini kami menemui 62 spesies lalat hitam dengan 21 darinya spesies baru yang ditemui di sekitar sungai Semenanjung Malaysia dan sebahagian kecilnya di Sabah serta Sarawak,” katanya.

Katanya, pihaknya kini melakukan penyelidikan bagi mengenal pasti spesies yang menghisap darah haiwan dan manusia serta menjadi vektor kepada cacing filaria.

“Buat masa ini kami tidak boleh kata ia mengancam keselamatan kerana belum temui spesies yang menjadi vektor di Malaysia tetapi memerlukan kajian lebih terperinci dan mendalam.

“Jadi itu sudah menjadi tanggungjawab kami kerana hanya kami yang boleh mengenal pasti spesies dan tahu bagaimana menangkapnya di lapangan.

“Sifatnya yang hanya boleh hidup di air sungai bersih dan mengalir ini memberikan satu cabaran besar dalam merancang strategi pengurusan vektor yang berkesan pada masa hadapan tanpa mengganggu gugat biodiversiti lain sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:47 AM