MAYAT bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui seorang penduduk kampung di tempat pembuangan sampah di Pasar Wakaf Zin, Tawang, Bachok, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my


MAYAT bayi perempuan yang cukup sifat ditemui di tempat pembuangan sampah di Pasar Wakaf Zin, Tawang, Bachok, malam tadi.

Dalam kejadian 11.45 malam, mayat bayi berkenaan yang dibungkus dengan kain kuning ditemui penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lelaki berkenaan mendakwa melihat lelaki dan wanita bertengkar di kawasan pembuangan sampah sebelum dia mendekati pasangan itu.

Katanya, saksi memberitahu kedua-dua mereka kemudian bergegas melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna gelap.

“Saksi kemudian melihat satu bungkusan besar dengan kain kuning serta mengesyaki sesuatu sebelum membuka bungkusan dan terkejut apabila melihat mayat bayi perempuan cukup sifat.

“Polis dapati bayi itu masih bertali pusat dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Bachok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat bayi berkenaan di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Nik Aminuddin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok atau menghubungi Inspektor Nor Afidah Mohd Ariffin di talian 09-7788222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 1:09 PM