NURANI Ellesya masih menerima rawatan intensif di Hospital Sungai Buloh.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Arwah meninggalkan isteri dan tiga anak. Isteri arwah tiada pendapatan tetap dan kini hanya menumpukan perhatian menjaga anak sulungnya yang masih menerima rawatan di hospital akibat insiden itu.

“Anak sulungnya sudah sedar, tetapi perlu menjalani beberapa pembedahan bagi merawat anggota badannya yang melecur,” kata Afzanizam Ismail, 41, saudara kepada Badrul Nizam Baharom, 43, mangsa letupan mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri di Jalan Johan Setia, Klang, 4 Oktober lalu.

Badrul Nizam yang melecur 75 peratus meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sungai Buloh, 14 Oktober lalu.

Manakala anak sulungnya, Nurani Ellesya Badrul Nizam, 14, yang melecur 47 peratus di beberapa bahagian badan masih menerima rawatan.

Menurut Afzanizam, pihaknya bersama keluarga terdekat dan isteri arwah, Haizira Badarudin menumpukan perhatian mendapatkan rawatan terbaik kepada Nurani Ellesya.

“Nurani Ellesya masih trauma dan sering ketakutan kerana tidak boleh melupakan apa yang berlaku.

“Pihak hospital menjalankan satu pembedahan terhadap Nurani Ellesya, semalam (kelmarin) dengan mengambil kulit di perut untuk ditampal pada paha dan tangan yang melecur itu.

“Dia dijangka menjalani beberapa siri pembedahan lagi secara berperingkat-peringkat termasuk pembedahan plastik sekiranya perlu untuk anggota badannya yang melecur itu.

“Bagaimanapun, kos keseluruhan rawatan belum diketahui, tetapi kemungkinan lebih RM10,000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga arwah terutama bagi rawatan Nurani Ellesya boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Haizira Badarudin yang bernombor 164306343048.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:59 AM