UYAINA (kiri) dan Harris. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Drama Lelaki Kiriman Tuhan (LKT) yang ditayangkan setiap Isnin di saluran Astro Oasis menjadi batu loncatan buat pengacara, Uyaina Arshad dan Harris Annuar mencipta nama dalam bidang lakonan.

Malah, drama yang menampilkan Remy Ishak dan Mira Filzah selaku watak utama itu dianggap percaturan ‘berani mati’ Uyaina dan Harris dalam menempatkan diri sebaris pelakon sedia ada.

Tanpa sebarang ilmu lakonan, Uyaina dan Harris memberanikan diri terbabit dalam drama itu sekali gus menyifatkan ia cabaran yang perlu ditempuh.

Mengakui ia bukan semudah disangka, Uyaina dan Harris perlu melangkah ke depan kerana di situ adalah permulaan kepada sebuah kejayaan.

Bagi Uyaina, 24, atau nama sebenarnya Naseha Uyaina Arshad bidang lakonan terlalu baharu untuknya dan mengakui tiada ilmu mengenai cabang seni itu.

Namun begitu, Uyaina yang juga bekas pengacara Nona berkata, peluang diberikan dalam LKT adalah kesempatan terbaik untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Selepas tidak terbabit dengan Nona, saya mula fikir perkara lain yang perlu dibuat.

“Saya menghadiri uji bakat pengacaraan di RTM dan Hypp TV. Malah, saya juga mencuba nasib dalam bidang lakonan dengan menjalani uji bakat di pejabat Zeel Production untuk drama Aisyah. Namun, saya gagal.

“Lima bulan selepas saya menjuarai program Puteri Muslimah di Indonesia, pihak Zeel menghubungi saya dan menawarkan watak dalam LKT.

“Memang terkejut tetapi dalam masa sama saya nak cuba. Alhamdulillah, emak menyokong hasrat saya.

“Hari pertama penggambaran, saya perlu berlakon dengan Remy dan Mira. Memandangkan saya ada pengalaman mengacara, jadi tidak ada masalah hafal skrip.

“Namun, ia dua cabang berbeza. Diakui bukan mudah nak berlakon. Saya bersyukur pengarah, pelakon dan semua kru membantu,” katanya.

Menurut Uyaina, dari sehari ke sehari dia mula merasai keseronokan berlakon. Paling penting, dia berjaya mencipta keserasian dengan pelakon lain.

Dalam masa sama, Uyaina bertuah apabila mendapat tunjuk ajar daripada pengarah Rashid Sibir dan Mira terutama teknik bermain dengan kamera.

“Di lokasi saya banyak bersembang dengan Mira dan kami mudah serasi. Dalam masa sama, Mira banyak bantu termasuk teknik lakonan dan ‘shot’ kamera.

“Menerusi drama ini saya belajar banyak perkara. Walaupun drama ini dibintangi ramai pelakon senior, mereka tidak lokek ilmu.

“Sikap yang ditunjukkan mereka membuatkan saya selesa untuk minta tunjuk ajar. Dalam erti kata lain, tidak ada jurang antara kami.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran semuanya berlangsung dengan baik.

“Saya okay dan tidak berasa tertekan pun. Lama kelamaan saya semakin seronok dan gian nak berlakon lagi,” katanya.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan Harris, Uyaina yang juga pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) dan CJ Wow Shop berkata, mereka saling membantu kerana masing-masing baharu dalam bidang itu.

“Walaupun kami baharu tetapi diberikan watak besar. Disebabkan itu, kami perlu fokus dan tidak boleh main-main.

“Apatah lagi, dalam cerita ini kami pasangan bercinta. Jadi, keserasian perlu ada.

“Memandangkan ini kerjasama pertama kami, rasa kelakar juga sebab kena bercinta. Ia memang perkara baharu buat kami berdua.

“Soal kerja, Harris cepat belajar selain menunjukkan disiplin yang baik,” katanya.

Perkembangan lain, Uyaini kini berada di Jakarta, Indonesia bagi menjayakan program Dangdut Academy Asia 4 bersama tiga pengacara lain dari sana.

Sepanjang tiga bulan di sana, Uyaina berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi meneruskan tugas selaku hos program WHI, CJ Wow Shop dan Kashorrga Talk.


UYAINA (kiri) dan Harris. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Watak lembut

Bagi Harris, 25, atau nama sebenarnya Mohd Harris Shahrul Annuar, drama itu adalah kemunculan pertama melakonkan watak pembantu.

Harris yang sebelum ini sekadar melakonkan watak ‘extra’ dalam beberapa drama menyifatkan itu peluang keemasan untuk menonjol­kan bakat sebenar.

“Saya tidak ada pengalaman yang banyak dalam melakonkan watak besar. Apatah lagi memegang watak di samping pelakon utama, Remy. Ia sangat mencabar kerana perlu pastikan tidak nampak ketinggalan.

“Disebabkan itu, saya menggunakan pendekatan dengan meletakkan diri sama dengan Remy dan pelakon senior lain supaya boleh bergerak seiring dengan watak mereka.

“Kalau saya berasa takut atau meletakkan diri jauh ketinggalan ke belakang, sudah tentu saya tidak boleh buat.

“Bukan nak kata saya hebat macam mereka, cuma saya melatih diri agar tidak nampak janggal di kaca TV.

“Alhamdulillah, cara ini berjaya dan banyak membantu dari segi lakonan,” katanya.

Ditampilkan sebagai pengarah urusan lembut, Harris berkata dia tidak malu melakonkan watak itu kerana dalam kehidupan sebenar dia masih lelaki sejati.

“Saya menjadikan seorang individu sebagai rujukan untuk watak ini. Dalam masa sama, saya buat juga cara sendiri. Saya buang rasa malu dalam diri bagi menjayakan watak ini. Ternyata, ia bukan mudah.

“Apabila saya tengok semula lakonan rasa geli hati. Saya terkejut dan tidak menjangka boleh buat watak ini. Apa yang membuatkan saya lega apabila pengarah dan kru memberi maklum balas lakonan saya nampak semula jadi dan tidak dibuat-buat.

“Ini sekadar lakonan. Kalau yang kenal saya pasti tahu macam mana. Malah kalau tidak percaya, boleh jumpa,” katanya.

Selain itu, Harris juga terbabit dalam drama Isteri Untuk Disewa dengan membawakan watak utama bersama Fattah Amin dan Tiz Zaqyah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 6:30 AM