KANAK-kanak berusia lapan hingga empat tahun memakai tanjak ketika berniaga di pasar pagi di kawasan perumahan Desa Pinggiran Putra, Putrajaya. FOTO/EMEL
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sekumpulan kanak-kanak ibarat lima pendekar bersaudara di zaman kesultanan Melayu Melaka apabila mereka memakai tanjak dan pakaian tradisional ketika berniaga di perumahan Desa Pinggiran Putra, Putrajaya sekali gus menjadi tumpuan orang ramai di kawasan terbabit.

Kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun itu akan berniaga setiap pagi Sabtu dengan menjual juadah nasi lemak, makanan ringan dan ais krim seawal jam 7.30 pagi.

Menariknya hasil keuntungan yang mereka peroleh kira-kira RM100 hingga RM200 sehari itu bukanlah untuk kegunaan sendiri sebaliknya disumbangkan kepada golongan asnaf, sekali gus mendidik kanak-kanak terbabit menjadi insan berdedikasi dan pemurah.

Lima kanak-kanak berkenaan, Muhammad Amin Haziq Mohd Azmi, 8, yang dipanggil Hang Jebat, Muhammad Afif Mahathir, 8, (Hang Kasturi), Ameer Daniel Mohamad Faizal, 8, (Hang Lekir), Tuah Abdul Latiff, 7, (Hang Tuah) dan Wira Abdul Latiff, 4, (Hang Lekiu) turut berkebolehan dalam ilmu persilatan apabila masing-masing mempelajari seni silat Hang Tuah.

Menurut penyelaras kumpulan kanak-kanak terbabit, Puan Seri Halila Faiza Zainal Abidin, 39, berkata, lima kanak-kanak berkenaan diajar untuk berniaga bagi melatih mereka supaya lebih berdikari dan mampu berkomunikasi dengan baik ketika berhadapan orang ramai.


KANAK-kanak berusia lapan hingga empat tahun memakai tanjak ketika berniaga di pasar pagi di kawasan perumahan Desa Pinggiran Putra, Putrajaya. FOTO/EMEL

Katanya, beliau tidak mahu kanak-kanak berkenaan yang tinggal di kawasan perumahan Desa Pinggiran Putra hanya bermain dengan gajet atau menonton televisyen hingga kurang bergaul bersama masyarakat setempat.

“Mereka mula berniaga sejak dua bulan lalu di pasar pagi berhampiran kawasan perumahan dengan memakai tanjak atau pakaian tradisional masyarakat Melayu sebagai daya tarikan tersendiri.

“Alhamdulillah, sejak berniaga mereka tidak lagi kekok ketika berhadapan dengan orang ramai, malah lebih menghormati golongan lebih tua dengan menjaga pertuturan,” katanya.

Halila Faiza berkata, beliau menggunakan tokoh lima pahlawan bersaudara zaman kesultanan Melayu Melaka sebagai sumber inspirasi kepada kanak-kanak berkenaan seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat.

Sementara itu, ketua kumpulan terbabit, Tuah berkata, pada peringkat awal dia malu untuk berniaga terutama melayan pelanggan yang berkunjung ke gerai.

“Juadah yang terdapat di gerai disediakan oleh ibu dan dibantu kami sebelum membawa makanan terbabit ke gerai untuk dijual.

“Kami hanya berniaga pada cuti hujung minggu dengan segala keuntungan selepas ditolak upah dan modal akan disumbangkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 6:59 AM