FIRDAUS dari Kampung Chalok Barat menunjukkan ikan belider yang berjaya dipancing di Tasik Kenyir. FOTO/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


HULU TERENGGANU: Cuaca yang tidak menentu di negeri ini tidak menjadi penghalang kepada kaki pancing melepaskan gian mereka menjinakkan pelbagai jenis ikan di Tasik Kenyir.

Kesungguhan 13 kaki pancing menyewa rumah bot dengan bayaran RM1,600 semalaman tenyata berbaloi apabila berjaya menaikkan sebanyak 25 kilogram ikan pelbagai jenis termasuk toman dan belida.

Wan Mohd Firdaus Wan Abas, 42, dari Kampung Chalok Barat berkata, memancing ikan air tawar di Tasik Kenyir sudah menjadi aktiviti wajibnya setiap tahun.

“Ramai yang mengatakan jumlah ikan di Tasik Kenyir sudah berkurangan dan sukar dijinakkan.

“Ternyata, dakwaan itu sangat meleset kerana kami hanya mengambil masa kurang setengah jam untuk menaikan ikan belida dan toman.

“Paling besar kami berjaya menjinakkan ikan belida seberat 3.5 kilogram (kg) selain toman seberat satu kilogram” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Firdaus berkata, dia bersama 12 rakannya hanya menggunakan umpan cacing dan buah kelapa sawit yang dicampur tepung.

“Pengalaman dan penghayatan ketika menjinakkan ikan di Tasik Kenyir sudah sebati dengan jiwa saya, justeru tidak sah jika tidak memancing di lokasi ini.

“Berpandukan engalaman lalu, kami sudah arif dengan selok-belok tasik ini justeru, sedia maklum dengan lubuk ikan tertentu di tasik berkenaan,” katanya.

Kelazimannya, aktiviti memancing di Tasik Kenyir itu bermula Oktober hingga Januari kerana banyak ikan yang berada di lubuk berpindah dari satu tempat ke tempat lain pada musim banjir.


IKAN toman dan beberapa jenis ikan lain yang berjaya dipancing. FOTO/AHMAD RABIUL ZULKIFLI

“Pada musim tengkujuh kaki pancing tidak dapat ke laut jadi Tasik Kenyir menjadi medan melepaskan gian.

“Seronok memancing di atas rumah bot itu kerana hasil tangkapan segar itu boleh dimasak segera dan dinikmati beramai-ramai,” katanya.

Rakannya, Abdul Razak Abdullah, 46, dari Kampung Langkap berkata, aktiviti memancing ikan di Tasik Kenyir itu seronok sekiranya memancing di kawasan lubuk.

“Tasik itu terlalu luas dan tidak semua tempat dihuni ikan. Jadi, kaki pancing yang kali pertama ingin merasai pengalaman memancing di situ perlu mendapatkan bantuan penduduk tempatan yang arif mengenai lubuk ikan.

“Jika memancing kena pada lubuknya, bukan saja toman, belida, ubi atau baung, malah ikan kelah pun boleh dijinakkan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama kumpulannya berpuas hati memancing di tasik itu biarpun hanya dalam tempoh singkat kerana berjaya memperoleh banyak ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 6:53 AM