Agensi

JAKARTA: Akibat miskin, hampir semua murid di sebuah sekolah rendah di Sampang, Jawa Timur terpaksa mengasuh adik kecil mereka sambil belajar di dalam kelas kerana ditinggalkan ibu bapa mereka yang bekerja.

Kompas.com melaporkan, murid yang membawa adik mereka yang masih kecil ke kelas adalah pemandangan biasa di Sekolah Dasar Negeri Palenggiyen 1 di Jawa Timur.

Akibat kemiskinan hampir 85 peratus daripada 103 murid sekolah itu membawa adik mereka ke kelas.

Seorang murid, Ismail, 11, berkata, dia perlu bersikap mengalah dan membelikan dua adik perempuannya makanan ringan supaya mereka tidak mengganggu sesi pelajaran.

“Kadangkala saya hanya minta lebihan snek yang dimakan oleh adik supaya mereka tidak bising dan mengganggu murid lain di dalam kelas,” katanya.

Ada masanya, buku Ismail turut diconteng adiknya, namun dia tidak segan untuk menegur perbuatan itu jika terlalu mengganggu.

“Jika bergurau di dalam kelas, guru akan menegur tetapi tidak sampai menghalau adik keluar,” katanya.

Manakala seorang lagi murid, Mohamad Zaenul Fata yang membawa adik sepupu yang berusia dua setengah tahun, Ristiani memberitahu, dia terpaksa mengendong kanak-kanak itu jika dia menangis.

“Dia sentiasa ingin bersama saya walaupun ke sekolah. Jika dia menangis dalam kelas, saya terpaksa mengendongnya dan barulah dia diam,” katanya.

Sementara itu, guru mereka, Lyndia Putri Kurniawati yang baru setahun mengajar di situ berkata, dia memahami masalah penduduk di kawasan itu yang terpaksa bekerja mencari rezeki sehingga tidak dapat menjaga anak mereka.

“Saya tidak mahu bersikap keras kerana bimbang sekiranya anak-anak kecil ini dimarahi ia menyebabkan murid terbabit berhenti sekolah,” katanya.

“Guru di sini biarkan saja mereka sambil mengasuh adik di dalam kelas. Apa yang penting mereka tidak mengganggu dan murid ini dapat datang ke sekolah untuk menuntut ilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 6:30 AM