DATUK Fauzi Ayob. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my


“SAYA menerima dengan hati terbuka atas segala keputusan yang dibuat oleh menteri supaya pengurusan dan perjalanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bergerak lancar demi membangun industri filem negara,” kata bekas Ketua Pengarah FINAS Datuk Fauzi Ayob.

Beliau yang ditukarkan serta-merta ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berikutan kemelut yang melanda agensi itu membabitkan penyelewengan dana berjumlah RM16 juta yang dibongkar akhbar Harian Metro, bulan lalu.

Fauzi digantikan dengan Timbalan Ketua Setiausaha KKMM Shakib Ahmad Shakir yang dilantik sebagai pemangku ketua pengarah, manakala Timbalan Ketua Pengarah FINAS kini dipangku Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan KKMM, Fairul Azida Shahabudin bagi menggantikan Datuk Azmir Saifudin Mutalib yang turut ditukar berkuat kuasa kelmarin.

Fauzi berkata, penstrukturan semula FINAS dan pemindahan sementara beliau dan timbalannya diterima dengan rela hati demi kelancaran dan ketelusan dalam apa bentuk sekalipun yang berkaitan dengan FINAS.

“Penstrukturan semula pengurusan FINAS oleh menteri sebagai langkah memastikan kelancaran tadbir urus berikutan pengurusan FINAS adalah tanggungjawab beliau kerana FINAS sebagai badan menyelia segala bentuk yang berkaitan perfileman tanah air berada di bawah KKMM.

“Selama ini FINAS memang memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan mutu dan pengeluaran filem tanah air,” katanya.

Menurutnya, penstrukturan FINAS dan perpindahan sementaranya dikaitkan dengan skandal ketirisan dana berjumlah RM16 juta yang diberikan kepada beberapa syarikat perfileman pada 2013 hingga 2016 untuk menerbit tujuh filem dan satu filem animasi, tetapi ia gagal disiapkan.

“Selaku Ketua Pengarah FINAS mungkin saya bertanggungjawab atas segala projek yang diluluskan pegawai FINAS sebagai usaha untuk merangsang kegiatan perfileman dan membantu penggiat perfileman tanah air.

“Tetapi berkaitan dengan ketirisan dana untuk projek berjumlah RM16 juta yang dilulus pada 2013 sehingga 2016, ia berada di luar bidang pengetahuan saya kerana semua projek diluluskan pegawai kanan FINAS sebelum saya dilantik sebagai Ketua Pengarah,” katanya.

Katanya, beliau tidak terbabit sama sekali dengan semua projek yang dikaitkan dengan kegagalan itu kerana ia diluluskan sebelum dirinya menerajui FINAS sebagai Ketua Pengarah pada 2017.

“Saya berharap segala masalah ketirisan dana dan skandal kewangan dalam FINAS dapat dirungkai segera kerana ia bukan saja membabitkan maruah dan kepercayaan rakyat kepada badan kerajaan yang diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran dan mutu perfileman.

“Jujurnya, saya sendiri perlu membersih imej dan reputasi saya sebagai pegawai kerajaan yang dipertanggungjawab memegang amanah demi rakyat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi laporan eksklusif bersiri sejak 15 September lalu mendedahkan mengenai dana FINAS berjumlah RM16 juta dari 2013 hingga 2015 diberikan kepada beberapa syarikat produksi untuk menerbitkan tujuh filem dan satu animasi yang gagal disiapkan.

Lebih mengejutkan hasil siasatan mendapati dua individu memonopoli tujuh produksi yang menerima dana itu tetapi menggunakan nama syarikat berbeza. Hasil laporan berkenaan, pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi reaksi akan melakukan siasatan isu itu yang turut menjadi buah mulut dalam kalangan penggiat industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 10:26 PM