ANGGOTA penyelamat menarik keluar limosin berkenaan yang terhumban ke dalam parit. - Agensi
Agensi

NEW YORK: Empat beradik dan suami mereka antara 20 mangsa yang maut selepas sebuah limosin yang dinaiki untuk satu majlis sambutan ulang tahun kelahiran terbabas di satu persimpangan, melanggar dua pejalan kaki sebelum terhumban ke dalam gaung.

Abigail Jackson, Mary Dyson, Allison King dan Amy Steenburg yang menuju ke parti sambutan ulang tahun kelahiran mereka terbunuh bersama suami masing-masing iaitu Adam Jackson, Robert Dyson dan Axel Steenburg.

Kemalangan itu berlaku pada jam 2 petang (waktu tempatan) di Schohaire, New York.

Turut terbunuh adalah pemandu limosin, Scott Lisinicchia, pasangan Erin dan Shane McGowan yang baru berkahwin, sepupu Erin, Patrick Cushing serta sepupu Axel, Rich Steenburg.

Secara keseluruhan, seramai 18 penumpang limosin itu dan dua pejalan kaki maut dalam tragedi pengangkutan terburuk di Amerika Syarikat sejak sebuah pesawat terhempas pada 2009 yang menyebabkan 50 orang terbunuh.

Mail Online melaporkan, kenderaan berkenaan dilaporkan menuruni bukit tetapi gagal berhenti di persimpangan yang mungkin berpunca daripada kegagalan brek berfungsi atau kecuaian pemandu.

Ia kemudian merempuh sebuah kenderaan dan dua pejalan kaki di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya sebelum terhumban ke dalam gaung.

Bagaimanapun, polis enggan membuat spekulasi mengenai punca kemalangan berkenaan.

Beberapa ahli keluarga mangsa memberitahu Washington Post, kumpulan itu sebenarnya menyewa sejenis bas untuk membawa mereka ke parti berkenaan di Cooperstown.

Namun, bas itu rosak ketika dalam perjalanan dan syarikat sewa kenderaan menggantikannya dengan sebuah limosin yang panjang.

Ibu saudara Erin, Valerie Abeling memberitahu, wanita itu berang dengan keadaan limosin itu dan menghantar mesej kepada kakaknya dengan berkata, ‘Kereta ini dalam keadaan yang teruk.’

Selepas 20 minit Erin menghantar mesej berkenaan, dia dimaklumkan Erin terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 6:29 AM