Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my

Palu: “Mayat salah seorang mangsa yang dikeluarkan dari dalam selut lumpur itu sudah mengembung, reput dan dipenuhi ulat berenga,” ujar pegawai logistik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Hidayat Abdullah yang turut sama mencari mayat mangsa korban gempa bumi dan banjir lumpur di penempatan Petobo di sini.

Pada operasi jam 11 pagi semalam, beliau bersama Naib Presiden MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kaherydan dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Nik Abdul Aziz Nik Mohd menyertai puluhan anggota sukarelawan tempatan, Palang Merah Indonesia (PMI) serta Tentera Nasional Indonesia (TNI) mencari baki mayat mangsa di tapak tragedi itu.

Hidayat berkata, bau busuk mayat menusuk berikutan tubuh lelaki berusia 30-an itu dalam keadaan terendam dalam lumpur hitam.


HIDAYAT dan Nik Abdul Aziz membantu mengeluarkan mayat dari kawasan bencana banjir lumpur dan gempa bumi di perkampungan Petobo. FOTO NSTP

“Selain itu, mayat dua wanita dan seorang bayi juga ditemui tidak jauh daripada kedudukan mayat pertama. Semua mayat dipercayai empat sekeluarga yang gagal menyelamatkan diri apabila perkampungan itu dihanyutkan lumpur yang memancut keluar dari bumi,” katanya.

Menurutnya, usaha memindahkan mayat itu perlu dilakukan berhati-hati berikutan bimbang anggota tubuh mangsa terpisah atau tercabut ketika diangkat ke dalam plastik khas.

“Saya difahamkan ketika tragedi pada 28 September lalu, berlaku gempa bumi kuat sebelum lumpur hitam memancut keluar tanpa henti daripada perut bumi.

“Lumpur setinggi bangunan empat tingkat itu kemudian menelan perkampungan berkenaan sebelum ribuan kediaman dan hampir 7,000 penghuni digulung ‘ombak’ lumpur hitam. Hanya seratus mayat mangsa ditemui setakat ini dan ribuan lagi tertanam di dalam timbunan lumpur dan tanah,” katanya.


PERKAMPUNGAN Petobo yang musnah dalam kejadian gempa bumi dan tsunami. FOTO NSTP

Dia menganggap malapetaka itu sukar dijelaskan dengan kata-kata dan menyifatkan ia sesuatu yang begitu menakutkan.

Nik yang mewakili APM dalam operasi itu memaklumkan, kawasan bencana lumpur Petobo terlalu luas menyebabkan operasi mencari mangsa yang tertimbus hampir mustahil diselesaikan dalam tempoh seminggu dua.

Tragedi membentuk timbunan sisa runtuhan rumah dan tanah membukit yang menutupi perkampungan dengan keluasan lebih 444 ekar.

Sementara itu wartawan NSTP yang turut berada di lokasi bencana semalam mendapati, penduduk Petobo yang terselamat dilarang memasuki kawasan itu oleh pasukan TNI.

Rata-rata mereka masih memenuhi tapak lokasi tragedi bagi mengetahui nasib ahli keluarga masing-masing sejak lapan hari lalu.

Kebanyakan mangsa menghuni khemah sementara bagi mangsa gempa bumi di Desa Ngatabaru, Loru dan Parovo, Kawatuna.


KHEMAH didirikan penduduk di hadapan rumah mereka di Palu. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:01 AM